Wednesday, March 7, 2018

Muhasabahlah Ke Dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri

Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan :
“ Kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan.”

Imam Hasan Al-Bashri رضى الله عنه pernah berkata :
“ Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain.”

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah سبحانه وتعالی dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti : Memerhatikan dan Memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti : Perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Syeikh Abdul Qadir Isa رضى الله عنه berkata :
" Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan." [ Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235 ]

Firman Allah سبحانه وتعالی :
Maksudnya :
"…dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
(Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah رضى الله عنه berkata berkenaan dengan ayat ini : 
" Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…" [ Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85 ]

Telah berkata Imam Al-Hasan رضى الله عنه berkenaan dengan ayat ini :
" Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya."

Firman Allah سبحانه وتعالی lagi :
Maksudnya :
“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat).” (Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah سبحانه وتعالی menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda :
" Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…" (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Syeikh Ahmad Az-Zarruq رضى الله عنه berkata :
" Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut." [ Qawa'id At-Tasawwuf m/s 75 ]

Syeikh Abdul Qadir Isa رضى الله عنه berkata :
" Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah سبحانه وتعالی, makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah سبحانه وتعالی. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."


Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama : Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya : Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan رضى الله عنه berkata :
" Allah سبحانه وتعالی merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah سبحانه وتعالی, maka dia meninggalkannya."

Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah سبحانه وتعالی dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.
Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah سبحانه وتعالی, ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah سبحانه وتعالی, maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah سبحانه وتعالی, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah سبحانه وتعالی.

Jenis Kedua : Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu :

Pertama : Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah سبحانه وتعالی dalam ketaatan.

Kedua : Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga : Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah سبحانه وتعالی, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah سبحانه وتعالی, kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah سبحانه وتعالی daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.


Kesimpulan

Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah سبحانه وتعالی. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah سبحانه وتعالی kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah سبحانه وتعالی berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Sayyidina Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda صلى الله عليه وسلم dengan Allah سبحانه وتعالی.


OLEH : Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari


No comments:

Post a Comment