Monday, March 6, 2023

MAKSUD "KEMBALI KEPADA AL-QURAN DAN AL-SUNNAH"

Satu ketika dahulu, saya ada terbaca isi laporan dalam akhbar yang menyatakan lebih kurang begini, "jika anda menghadapi masalah, kembalilah kepada al-Quran dan al-Sunnah".

Apabila kita membaca kenyataan ini sepintas lalu, kata-kata itu amat indah sekali. Cuma maksud sebenar bagi kata-kata itu perlu diperhalusi lagi.

Jika yang dimaksudkan dengan kembali kepada al-Quran dan Sunnah itu ialah membaca sendiri kitab al-Quran dan al-Sunnah tanpa bimbingan daripada para alim ulama, maka pemahaman seperti itu tidak kena pada tempatnya. Hal ini kerana tidak semua tempat di dalam al-Quran dan Sunnah dapat difahami oleh semua orang. Pada ayat atau hadith yang misalnya berkaitan dengan ayat mutasyabihaat, hukum-hakam, nasikh mansukh, tafsiran makna tersirat dan sebagainya tidak semua boleh memahami dengan baik akan hal ini.

Kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah mestilah difahami dengan erti kata kembali kepada pemahaman yang sebenar sebagaimana yang diajar oleh para alim ulama, bukannya kembali kepada "pemahaman sendiri atau tafsiran masing-masing terhadap al-Quran dan al-Sunnah, lalu mendakwa itulah maksud kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah sebenar, sedangkan dalam masa yang sama menentang ulama dan tidak mempelajari ilmu kepada ulama". Oleh yang demikian, kita sebagai orang awam, amat tidak memadai hanya sekadar melihat terjemahan al-Quran dan al-Sunnah, lalu terus mengamalkannya tanpa mempelajari kepada para alim ulama yang membicarakan mengenainya.

Di dalam al-Quran dan al-Sunnah terdapat ayat yang berbentuk mujmal, muhkam, mutasyabih, nasikh, mansukh, am, khas, muqayyad, dan banyak lagi yang mana sudah tentu untuk memahaminya dengan baik perlu kepada bimbingan para alim ulama. Jika kita tidak merujuk kepada bimbingan ulama, maka ayat yang sebenarnya tidak berlaku pertentangan antara satu sama lain, dikatakan berlaku bertentangan disebabkan pemahaman dan ilmu kita yang dangkal. Misalnya ayat al-Quran yang menyatakan boleh qasar solat ketika dalam situasi peperangan, hanya menyebut dalam situasi peperangan sahaja, tidak menyebut mengenai keadaan musafir yang bukan dalam situasi peperangan. Rukhsah untuk membolehkan qasar solat ketika bermusafir yang bukan dalam situasi peperangan boleh didapati penjelasannya menerusi hadith dan kalam ulama yang membicarakan mengenainya. Jika kita tidak berpandukan kepada pengajaran dan bimbingan daripada alim ulama untuk memahami ayat al-Quran dan hadith, sudah tentu kita tidak dapat beramal dengan wahyu Allah SWT dengan erti kata yang sebenarnya.

Justeru, kembalilah kepada bimbingan para alim ulama untuk memahami al-Quran dan al-Sunnah dengan baik, barulah benar slogan yang mengatakan "Kembali Kepada al-Quran dan al-Sunnah". Jika kita tidak kembali kepada bimbingan para alim ulama untuk memahami al-Quran dan al-Sunnah, maka sebenarnya tanpa sedar kita semakin terpesong dan jauh daripada al-Quran dan Sunnah. Bertambah parah apabila kita mendakwa yang kita lebih memahami daripada ulama, lalu menentang ulama dengan sekeras-kerasnya. Semoga kita sentiasa menjadi insan yang sentiasa dibimbing oleh ulama pewaris para Nabi.

Wallahua'lam
Kredit Dr @Mohd Murshidi


No comments:

Post a Comment