Saturday, March 4, 2023

SILSILAH DALAM ILMU TAREKAT

Dr Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi
Jabatan Usuludddin
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
UniSZA

Pendahuluan

Silsilah merupakan satu perkara penting dalam ilmu tarekat. Sesuatu tarekat yang benar itu pasti mempunyai rantaian silsilah yang benar dan bersambungan sampai kepada hadrat Nabi s.a.w. Tanpa silsilah yang benar, sesuatu tarekat itu tidak dikira sah di sisi ahli tarekat di mana silsilah adalah asas pembuktian kebenaran tarekat tersebut. Ia adalah saluran pengaliran keberkatan kerohanian daripada hadrat Nabi s.a.w. Kedudukannya dalam ilmu tarekat adalah seumpama kedudukan sanad dalam ilmu hadis. Sebagaimana sesuatu hadis itu ditolak kerana tidak mempunyai sanad maka demikian juga sesuatu tarekat itu tertolak tanpa silsilah. Seseorang itu pula tidak diiktiraf sebagai murabbi ruhi (shaykh/murshid) menurut disiplin ilmu tarekat, sekiranya tidak mempunyai rantaian silsilah yang benar dan bersambungan.

Kajian dan penelitian penulis mendapati, beberapa kelompok berlabel kerohanian yang dicurigai dan menimbulkan beberapa masalah melibatkan kefahaman dan amalan beragama dan juga hubungan kemasyarakatan, setelah disiasat, ternyata tidak memiliki silsilah yang benar dan bersambungan atau mengemukakan silsilah palsu atau silsilah yang benar tetapi tidak sah kerana tidak mendapat keizinan. Di antara mereka ada yang secara berlebihan dan terang-terangan menolak dan menafikan keperluan bersilsilah ini lantaran tidak memilikinya dengan anggapan “boleh berhubung terus dengan Allah”.

Namun dari satu sudut yang lain pula kedapatan beberapa kelompok ahli rohani yang berlebih-lebihan dalam persoalan silsilah ini sehingga hampir meletakkannya bertaraf `ismah (terpelihara daripada kesilapan dan kesalahan), sekalipun secara terang-terangan pembawaan mereka bertentangan dengan pertunjuk al-Qur’an, sunnah dan pedoman ulama tasawwuf. Hakikatnya, silsilah bukanlah satu-satunya syarat kebenaran sesuatu tarekat, malah di sana masih ada beberapa persyaratan lain lagi yang perlu dipenuhi. Adanya silsilah yang benar lagi bersambungan bukanlah bererti `ismah (terpelihara) daripada penyimpangan dan kegelinciran sekiranya pembawa silsilah itu sendiri tidak istiqamah dalam jalan yang lurus, yang dipandu oleh pertunjuk al-Qur’an, hadis dan panduan serta keilmuan para ulama khasnya ulama tasawwuf. Kita memohon dari Allah supaya meletakkan kita dalam jalan yang lurus lagi diredai. Amin ya Rabb al-`Alamin.

Pengertian Silsilah

Dari perspektif ilmu tarekat, silsilah merujuk kepada makna silsilah perguruan, didikan kerohanian dan pemindahan ilmu, amalan dan ehwal kerohanian. Ia merupakan persambungan rangkaian hubungan para shaykh yang memimpin dari satu jenerasi ke satu jenerasi tanpa putus. Persambungan silsilah tersebut adalah berasaskan tarbiyah dan irshad, shubah (persahabatan dan perdampingan) dan pengambilan adab-adab tarekat. seperti talqin, bai`ah, adab-adab terhadap shaykh dan ikhwan, keizinan, dan sebagainya.

Pemindahan atau pewarisan silsilah memerlukan tempoh masa yang agak panjang. Lantaran itu ia berbeza dari sistem isnad dalam ilmu hadis kerana isnad itu tidak memerlukan semua ini. Silsilah merupakan sesuatu yang sangat penting dalam semua tarekat.

Kewujudan silsilah yang benar adalah sebagai salah satu bukti kebenaran sesuatu tarekat itu. Bukan setakat itu sahaja malahan, menurut ahli tasawuf, peningkatan pada darjat-darjat tasawuf tidak akan berlaku pada orang yang tidak memiliki silsilah yang benar dan bersambungan sehingga sampai kepada Nabi s.a.w. Demikian juga kewujudan silsilah dalam berbagai tarekat dapat memberikan gambaran tentang pecahan cabang-cabang tarekat tersebut yang mana semuanya akan kembali kepada saluran yang asal.

Ahli tarekat sangat mengambil berat tentang silsilah. Ini dapat dilihat di mana setiap shaykh yang memimpin, memiliki silsilah tarekat yang tersendiri dan seterusnya akan memperturunkannya kepada para khalifah yang akan menggantikannya. Menurut mereka, orang yang tidak bersambung silsilah tarekatnya sehingga sampai kepada Nabi s.a.w. bererti tarekatnya itu terputus dari mendapat limpahan kurniaan rohani. Orang tersebut tidak boleh menjadi pewaris Nabi s.a.w dalam perkara tersebut serta tidak boleh diambil bay`ah dan ijazah darinya.

Dalil dan Sandaran Silsilah

Penelitian terhadap tulisan dan huraian para ulama tasawwuf mendapati bahawa mereka merujuk kepada sejumlah ayat al-Qur’an dan hadis dalam menjelaskan tentang keperluan bersilsilah atau berguru dalam menjalani tarekat. Terdapat banyak ayat al-Qur’an yang menunjukkan dan mengisyaratkan kepada persoalan ini. Antaranya ialah firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan hendaklah kamu berserta (bersama-sama) dengan orang-orang yang benar”. Ayat ini selain dari menyuruh supaya bertaqwa kepada Allah juga menyuruh supaya mendampingi orang-orang yang benar zahir dan batin mereka itu (al-sadiqin) serta mengambil faedah ilmu dan amal dari mereka itu. Demikian juga ayat al-Qur’an:

وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ

yang bermaksud “dan ikutilah jalan orang yang telah kembali kepadaKu”, ayat al-Qur'an:

فَاسْأَلْ بِهِ خَبِيرًا

yang bermaksud "maka tanyalah orang yang mengetahui (khabir) tentang-Nya", dan ayat al-Qur'an:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

yang bermaksud "maka tanyalah orang yang mengetahui (ahl al-dhikr) sekiranya kamu tidak mengetahui". Ayat-ayat ini secara jelas menyuruh supaya mengikuti serta mentauladani orang-orang yang telah kembali ke jalan Allah dan merujuk serta bertanya kepada orang yang berpengalaman dan berpengetahuan tentang sesuatu perkara. Oleh itu ia menunjukkan kepada keperluan berguru, lebih-lebih lagi dalam persoalan kerohanian yang sangat kabur.

Begitu juga firman Allah:

يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ

yang bermaksud “iaitu pada hari Kami menyeru setiap kaum itu berserta imam (ketua yang menjadi ikutan) mereka”. Ayat ini menjelaskan tentang wujudnya ikatan seseorang dengan pemimpin yang menjadi ikutan mereka di mana mereka semua akan dipanggil menghadap Allah untuk dipersoalkan pada hari kiamat bersama ikutan mereka itu secara bersekali. Ayat ini menurut penelitian ahli tarekat, juga menunjukkan kepada silsilah yang merujuk kepada pengertian ikatan hubungan pimpinan kerohanian antara para murid dengan pemimpin rohani mereka.

Demikian juga terdapat hadis-hadis yang menunjukkan dan mengisyaratkan kepada persoalan silsilah ini. Antaranya ialah hadis Nabi s.a.w. yang merupakan pesanan baginda kepada `Abd Allah ibn `Umar r.a.:

يا ابن عمر دينك دينك إنما هو لحمك ودمك فانظر عمن تأخذ خذ عن الذين استقاموا ولا تأخذ عن الذين مالوا

yang bermaksud “Wahai Ibn `Umar, jagalah agamamu, jagalah agamamu, sesungguhnya ia adalah daging dan darahmu, maka hendaklah engkau perhatikan daripada siapa engkau mengambilnya, ambillah daripada orang-orang yang istiqamah dan janganlah engkau mengambilnya daripada orang-orang yang menyimpang”. Dalam satu riwayat lain disebut:

ولا تأخذ عن الذين قالو ا

yang bermaksud “dan janganlah engkau mengambil daripada orang-orang yang (hanya pandai) berkata-kata”.

Begitu juga hadis Nabi s.a.w.:

طوبى لمن رآني و لمن رأى من رآني و لمن رأى من رأى من رآني

yang bermaksud “Beruntunglah bagi orang yang melihatku, dan bagi orang yang melihat orang yang melihatku, dan bagi orang yang melihat orang yang melihat orang yang melihatku”. Dalam satu riwayat lain Nabi s.a.w. bersabda:

لا تزالون بخير ما دام فيكم من رآني وصاحبني ، والله ! لا تزالون بخير ما دام فيكم من رأى من رآني وصاحبني ، والله ! لا تزالون بخير ما دام فيكم من رأى من رأى من رآني وصاحبني.

yang bermaksud “Kamu sentiasa berada dalam kebaikan selagi ada di kalangan kamu orang yang melihatku dan bersahabat denganku, demi Allah, kamu sentiasa berada dalam kebaikan selagi ada di kalangan kamu orang yang melihat orang yang melihatku dan bersahabat denganku, demi Allah, kamu sentiasa berada dalam kebaikan selagi ada di kalangan kamu orang yang melihat orang yang melihat orang yang melihatku dan bersahabat denganku”. Hadis ini juga mengisyaratkan kepada rantaian silsilah yang mana menerusinya terjadi pemindahan atau pengaliran keberkatan kerohanian daripada hadrat kenabian. Ia tidak terhenti pada tiga generasi sahaja malah berterusan sehingga ke generasi-generasi selanjutnya.

Begitu juga hadis Nabi s.a.w.

كُلُّ نَسَبٍ وَسَبَبٍ يَنْقَطِعُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلاَّ نَسَبِي وَسَبَبِي

yang bermaksud “setiap keturunan dan sebab akan terputus pada hari kiamat kecuali sebabku dan keturunanku”. Hadis ini menurut kefahaman ahli tarekat mengisyaratkan kepada keturunan atau silsilah amalan yang tidak akan terputus sampai hari akhirat.

Demikianlah sejumlah ayat al-Qur’an dan hadis Nabi s.a.w. yang kebiasaannya dirujuk oleh para ulama tasawwuf dalam menjelaskan tentang persoalan yang berkaitan dengan silsilah. Sebahagian daripada ayat al-Qur’an dan hadis ini secara jelas menyuruh supaya berguru (bersilsilah) manakala sebahagian yang lain pula menunjukkan dan mengesahkan secara isyarat kewujudan silsilah dan rahsia keberkatannya.

Keperluan (Kemestian) Bersilsilah

Penelitian mendapati, para ulama tasawwuf berpendapat bahawa bersilsilah (berguru) dalam menjalani jalan rohani merupakan merupakan satu keperluan (kemestian). Mereka merujuk kepada beberapa ayat al-Qur’an dan hadis Nabi s.a.w. dalam menyatakan keperluan (kemestian) bersilsilah (berguru) ini. Shaykh Ahmad Zaruq misalnya merujuk kepada ayat 15, Surah Luqman dalam persoalan ini iaitu firman Allah:

وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ

yang bermaksud “dan ikutilah jalan orang yang telah kembali kepadaKu”, dan juga ayat 49 surah al-`Ankabut iaitu firman Allah:

بَلْ هُوَ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ فِي صُدُورِ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ

yang bermaksud “Bahkan ia adalah ayat-ayat yang jelas yang ada dalam dada orang-orang yang diberikan ilmu”.

Shaykh Muhammad al-Hashimi pula, selain ayat 15 Surah Luqman, juga merujuk kepada ayat 119 Surah al-Tawbah dalam menyatakan kemestian bersilsilah iaitu firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan hendaklah kamu berserta (bersama-sama) dengan orang-orang yang benar”. Ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan sandaran oleh para ulama tasawwuf dalam persoalan bersilsilah ini seperti yang telah disebutkan, adalah satu perintah yang membawa kepada pengertian keperluan (kewajipan atau kemestian).

Manakala Ibn Abi Jumrah pula mengaitkan satu riwayat hadis dalam menyatakan keperluan bersilsilah iaitu:

جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فاستأذنه في الجهاد فقال: "أحي والداك ؟" قال: نعم، قال: ففيهما فجاهد

yang bermaksud “Seorang lelaki (sahabat) telah datang mengadap Nabi s.a.w. lalu meminta keizinan baginda untuk berjihad. Baginda bertanya: Adakah kedua ibu bapamu masih hidup? Dia menjawab: Ya. Nabi s.a.w. berkata: Berjihadlah (bersungguh-sungguhlah berkhidmat) kepada kedua-duanya”. Ketika menjelaskan hadis ini, Ibn Abi Jumrah menyatakan, ia adalah bukti yang menunjukkan bahawa sunnah dalam melakukan suluk dan mujahadah ialah menerusi pimpinan seorang shaykh yang `arif yang akan menunjukkan jalan yang lebih sesuai dan lurus bagi seseorang salik. Menurut beliau, ketika sahabat tersebut mahu keluar berjihad, dia tidak berpandukan pikirannya, malah dia mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih `alim dan `arif daripadanya. Ini terjadi pada jihad kecil, maka bagaimana dengan jihad besar?

Penelitian juga mendapati, keperluan (kemestian) berguru (bersilsilah) merupakan ijmak (persepakatan) ahli tarekat. Mengenai perkara ini Shaykh al-Tayyibi menjelaskan, ahli tarekat telah bersepakat menyatakan kewajipan seseorang untuk mencari seorang shaykh yang akan menunjukkannya cara untuk membuang sifat-sifat buruk yang menghalang hatinya daripada memasuki hadrat Allah, supaya tercapai kehadiran dan kekhusyukan hati dalam semua ibadat. Menurut beliau, ia termasuk dalam kaedah usul al-fiqh iaitu:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

yang bermaksud “sesuatu yang tidak sempurna sesuatu kewajipan itu kecuali dengannya maka sesuatu itu juga menjadi wajib”.

Walau bagaimanapun, penelitian terhadap penjelasan yang diberikan oleh para ulama tasawwuf mendapati, persoalan keperluan bersilsilah (berguru) dalam menjalani jalan rohani adalah bergantung kepada jenis mujahadah yang ditempuh oleh seseorang murid. Sekiranya mujahadah yang ditempuh itu merupakan mujahadah taqwa (melaksanakan kewajipan dan meninggalkan larangan) yang merupakan tarekat umum maka berguru bukanlah satu kemestian, namun ia digalakkan. Begitu juga sekiranya mujahadah yang ditempuh itu merupakan mujahadah istiqamah (menukar sifat madhmumah dengan sifat mahmudah), maka berguru bukanlah satu kemestian juga, namun ia sangat dituntut. Tetapi sekiranya mujahadah yang ditempuh itu merupakan mujahadah kashf (pembukaan hijab rohani) yang merupakan tarekat khusus maka para ulama tasawwuf menjelaskan bahawa bersilsilah (berguru) dalam menempuh jalan tersebut adalah satu keperluan (kemestian).

Tentang keperluan (kemestian) bersilsilah atau berguru dalam menjalani tarekat, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa antara kewajiban atau kemestian seseorang yang ingin menempuh jalan Allah itu ialah mempunyai murshid (penunjuk jalan) atau murabbi (pendidik rohani) yang akan menunjukkan kepadanya jalan Allah dan membuang dari dirinya sifat-sifat yang tercela serta menggantikannya dengan sifat-sifat terpuji. Beliau seterusnya menyebut beberapa ciri atau sifat murshid yang boleh dijadikan ikutan. Antaranya ialah murshid itu sendiri hendaklah mendapat didikan dari murshid sebelumnya dan begitulah seterusnya sehinggalah sampai kepada Nabi s.a.w. Inilah yang dinamakan silsilah atau rantaian perguruan seperti yang dikehendaki dalam ilmu tarekat. al-Ghazali juga telah menjelaskan tentang kemestian bersilsilah (berguru) ini pada beberapa tempat dalam karya agung beliau, Ihya’ `Ulum al-Din.

Berkait dengan persoalan ini juga Imam Fakhr al-Din al-Razi telah mengemukakan tafsiran dan huraian sebahagian para ulama terhadap ayat 7 Surah al-Fatihah yang menyatakan bahawa apabila Allah menyebut “tunjukkanlah kami jalan yang lurus” ia tidak terhenti setakat itu sahaja malah diteruskan dengan “jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka”. Ini menunjukkan bahawa tidak ada laluan bagi seseorang murid untuk mencapai maqamat (tingkatan) hidayat dan mukasyafah (pembukaan hijab rohani) kecuali apabila dia mengikuti seseorang shaykh yang menunjukkannya jalan yang lurus dan menjauhkannya daripada kesilapan dan kesesatan.

Keluasan dan kedalaman ilmu yang dimiliki seseorang dilihat tidak mencukupi untuk mengecualikan seseorang daripada mendapat bimbingan shaykh (bersilsilah/berguru). Mengenai perkara ini Shaykh al-Tayyibi menjelaskan bahawa seseorang ahli ilmu itu tidak sepatutnya merasa memadai dengan apa yang dia tahu sekalipun dia mendalami dalam sesuatu ilmu sehingga menjadi pakar yang tiada tandingan pada zamannya. Apa yang mesti dilakukan ialah berhimpun (bersahabat/berguru) dengan ahli tariq supaya mereka dapat menunjukkannya jalan yang lurus.

Mengenai perkara ini juga al-Sha`rani memberikan komentar dengan menyatakan, sekiranya Imam al-Ghazali yang merupakan Hujjat al-Islam, dan juga Shaykh `Izz al-Din Ibn `Abd al-Salam yang merupakan Sultan al-`Ulama’, masih memerlukan bimbingan shaykh sedangkan kedua-duanya memiliki keluasan pengetahuan tentang syariat, maka orang lain seperti kami ini adalah lebih utama lagi.

Demikian juga keperluan bersilsilah ini dapat dilihat pada penjelasan yang diberikan oleh tokoh-tokoh besar ulama dan ahli tasawwuf seperti Shaykh Shu`aib Abu Madyan al-Tilmisani, Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani, Shaykh Abu `Ali al-Thaqafi, Shaykh Ahmad ibn `Ata’ al-Iskandari, Shaykh `Ali al-Khawas, Shaykh `Abd al-Wahhab al-Sha`rani, Shaykh Ahmad Zaruq, Shaykh al-Amir `Abd al-Qadir al-Jaza’iri, dan lain-lain. Kesimpulan dari penjelasan tokoh-tokoh ini menunjukkan bahawa silsilah itu adalah satu keperluan dalam menjalani jalan Allah yang khusus atau bertarekat.

Fakta tentang keperluan bersilsilah dalam perjalanan kerohanian terbukti bukan sahaja menerusi penegasan yang diberikan oleh ulama tasawuf, malah menerusi tindakan mereka sendiri. Tokoh-tokoh tasawuf terkenal diketahui mempunyai silsilah perguruan yang bersambungan dengan Nabi s.a.w. Shaykh al-Junayd al-Baghdadi telah mendapat didikan kerohanian dari bapa saudara beliau sendiri iaitu Sari ibn Mughlis al-Saqati. Selain Sari al-Saqati, al-Junayd juga mendampingi (suhbah) Harith al-Muhasibi dan Muhammad ibn `Ali al-Qassab.

Imam al-Ghazali pula, sekalipun beliau telah mencapai tahap keilmuan yang sangat tinggi dalam pelbagai bidang, namun dalam bidang kerohanian ini beliau didapati masih merujuk dan menerima irshad dari beberapa orang shaykh, antara mereka yang terkenal ialah Shaykh Abu `Ali al-Farmadi. Mengenai perkara ini, `Abd al-Ghafir ibn Isma`il al-Farisi, seorang sahabat Imam al-Ghazali sendiri, menyebut bahawa al-Ghazali memang benar telah bersahabat dengan al-Farmadi dan mengambil kunci tarekat daripadanya. Selain al-Farmadi, al-Ghazali juga mengambil tarekat daripada Shaykh Yusuf al-Nassaj. al-Ghazali sendiri ada menyebut bahawa beliau pada permulaannya mengingkari ahwal orang-orang soleh dan maqamat para `arif sehinggalah beliau bersahabat dengan shaykh beliau iaitu Shaykh Yusuf al-Nassaj. Shaykh tersebut sentiasa menyucikan beliau dengan mujahadah sehingga beliau berjaya mendapat waridat.

Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani pula telah mendapat didikan kerohanian dari dua orang guru utama beliau iaitu Shaykh Hammad ibn Muslim al-Dabbas dan Shaykh Abu Sa`id al-Mubarak al-Makhzumi. Begitu juga Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili, di mana telah mengambil tarekat dari Shaykh `Abd al-Salam ibn Mashish.

Shaykh `Abd al-Wahhab al-Sha`rani pula telah mendapat didikan kerohanian daripada ramai shaykh, antara yang terkenal ialah Shaykh `Ali al-Mursifi dan Shaykh `Ali al-Khawas. Manakala Shaykh Ahmad ibn `Abd al-Rahim (Shah Walyy Allah) al-Dahlawi pula telah mengambil ijazah tarekat daripada ramai shaykh. Antara yang paling penting ialah ayah beliau sendiri iaitu Shaykh `Abd al-Rahim al-Dahlawi yang telah mengijazahkan beliau tiga tarekat iaitu al-Cistiyyah, al-Qadiriyyah dan al-Naqshabandiyyah.

Begitu juga para shaykh lain yang tidak disebutkan di sini. Kajian tidak menemui tokoh besar ahli tasawwuf dan tarekat yang tidak mempunyai silsilah perguruan yang bersambungan dengan hadrat kenabian. Tidak kedapatan seorang pun di antara mereka yang tersenarai dalam kitab-kitab tabaqat dan karya-karya tasawwuf terkenal yang tidak bersahabat dan berguru dengan tokoh-tokoh tasawwuf sebelumnya.

Kepentingan Bersilsilah

Mengambil silsilah yang benar dan bersambungan merupakan satu perkara asasi dan penting dalam menjalani tarekat tasawwuf. Mengenai persoalan kepentingan bersilsilah ini, ahli tasawwuf melihat bahawa ketiadaannya akan mengganggu perjalanan kerohanian seseorang salik. Shaykh `Abd al-Wahhab al-Sha`rani menganggap orang yang menjalani jalan Allah tetapi tidak mengetahui dan mempunyai silsilah perguruan tarekat sebagai berjalan dalam keadaan buta. Mengenai hal ini beliau menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui bapa dan juga datuk-datuknya (silsilah) dalam tarekat maka dia adalah buta, dan boleh jadi dia ternisbah kepada bukan bapanya (yang sebenar). Ini kerana dia tidak mempunyai pemimpin atau penunjuk jalan yang akan menunjukkan kepadanya simpang-siur jalan tersebut. Sudah tentu dia akan menghadapi banyak masalah dan rintangan lantaran tidak dapat melihat dengan jelas jalan kerohanian yang belum pernah ditempuhinya.

Bukan setakat itu sahaja, malahan ketiadaan silsilah perguruan dalam perjalanan kerohanian yang khusus ini membuka ruangan ke arah penyelewengan dan kesesatan. Hal ini telah diingatkan oleh Shaykh Abu Yazid al-Bistami dengan kata-kata beliau bahawa sesiapa yang tidak mempunyai ustaz (shaykh) maka imam (ikutan)nya ialah syaitan.

Selain itu, ahli tasawwuf juga melihat bahawa orang yang tidak mempunyai silsilah tidak boleh dijadikan ikutan dalam perjalanan kerohanian menuju kepada Allah. Hal ini telah ditegaskan oleh Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili. Perkara yang sama juga telah ditegaskan oleh Shaykh Ahmad al-Kumushkhanawi di mana beliau berkata bahawa sesiapa yang tidak betul penisbahannya kepada golongan ahli sufi, maka dia adalah anak pungutan di jalanan yang tidak mempunyai ayah. Tidak harus baginya mengambil peranan menunjuk-ajar para murid kecuali setelah dia mengambil adab-adab tarekat dari shaykh yang sempurna (perjalanan rohaninya).

Ahli tasawwuf juga melihat bahawa ketiadaan silsilah yang benar lagi bersambungan menjadikan seseorang itu tidak mendapat limpahan kerohanian khusus dan tidak boleh memimpin perjalanan tersebut. Dalam hal ini Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili menegaskan bahawa sesiapa yang tidak mempunyai silsilah para shaykh, maka dia terputus (limpahan rohaninya) dan dia tidak boleh dijadikan ikutan (dalam perjalanan rohani). Demikian juga perkara ini telah ditegaskan oleh Shaykh Muhammad Amin al-Kurdi. Beliau menyatakan bahawa sesiapa yang tidak bersambungan silsilahnya dengan hadrah kenabian maka sesungguhnya dia terputus limpahan (kurniaan atau natijah kerohanian) dan dia tidak menjadi pewaris Rasulullah s.a.w.

Mengenai limpahan kerohanian ini ahli tasawwuf melihat bahawa ia sangat penting dalam perjalanan kerohanian dan ketiadaannya menyebabkan terbantutnya perjalanan itu. Ini dapat dilihat pada penjelasan Shaykh al-Azhar, al-Marhum Dr. `Abd al-Halim Mahmud. Mengenai hal ini beliau menjelaskan bahawa apa yang lebih utama di sebalik silsilah itu ialah wujudnya kesan atau pengaruh rohani iaitu apa yang disebut sebagai pengaliran keberkatan yang mana ia tidak diperolehi kecuali menerusi perantaraan shaykh. Selanjutnya beliau menjelaskan bahawa antara apa yang diperlukan bagi menjalani jalan tasawuf ini ialah penisbahan kepada silsilah yang benar. Ini kerana keberkatan yang diperolehi dari penisbahan kepada silsilah yang benar itu merupakan syarat asasi. Tanpanya seseorang itu tidak akan sampai kepada sesuatu darjat dari darjat-darjat tasawuf, walau darjat permulaan sekalipun.

Demikian juga silsilah dapat menjaga keaslian dan kebenaran sesuatu ajaran dan amalan yang diwarisi daripada generasi sebelumnya. Mengenai keperluan dan kepentingan silsilah (sanad) dalam menjaga keaslian dan kebenaran sesuatu warisan, Ibn al-Mubarak menyatakan:

الْإِسْنَادُ مِنْ الدِّينِ وَلَوْلَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

yang bermaksud “Isnad itu sebahagian daripada agama, kalaulah tidak kerana isnad nescaya siapa saja boleh berkata-kata apa saja yang mereka mahu”. Demikian juga Ibn Sirin menyatakan:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

yang bermaksud “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka hendaklah kamu perhatikan daripada siapa kamu mengambil agama kamu itu”.

Silsilah Tarekat Mu`tabarah

Kebanyakkan tarekat yang masih berkembang dalam dunia Islam sekarang mempunyai silsilah yang bersambungan dengan dua orang sahabat besar Rasulullah s.a.w. iaitu Sayyidunā Abū Bakr al-Siddīq r.a.dan Sayyidunā `Ali ibn Abi Talib k.w.j. Ini dapat dilihat pada silsilah tarekat-tarekat muktabar seperti Tarekat Qadiriyyah (dinisbahkan kepada Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani), Tarekat Naqshabandiyyah (dinisbahkan kepada Shaykh Muhammad Baha’ al-Din Shah Naqshaband), Tarekat Shadhiliyyah (dinisbahkan kepada Shaykh Abu al-Hasan al-Shadhili), Tarekat Sammaniyyah (dinisbahkan kepada Shaykh Muhammad ibn `Abd al-Karim al-Sammani, Tarekat Shattariyyah (dinisbahkan kepada Shaykh `Abd Allah al-Shattari) dan lain-lain. Silsilah tarekat-tarekat ini adalah melalui dua orang tokoh besar sahabat ini. Namun kebanyakan silsilah tarekat adalah melalui Sayyiduna `Ali berbanding Sayyiduna Abu Bakr al-Siddiq r.a.

Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa silsilah tarekat yang menyebut nama para sahabat lain seperti Sayyiduna `Umar ibn al-Khattab, Sayyiduna Anas bin Malik dan lain-lain, namun penisbahan tersebut tidak masyhur atau kurang dikenali berbanding penisbahan kepada Sayyiduna Abu Bakr dan Sayyiduna `Ali r.a. di mana kebanyakkan shaykh hanya memperturunkan silsilah tarekat yang berhubungan dengan dua orang sahabat besar ini sahaja.

Penelitian terhadap silsilah tarekat-tarekat muktabar mendapati bahawa terdapat banyak pertemuan antara silsilah-silsilah tersebut terutamanya pada tokoh-tokoh shaykh peringkat awalan. Perkara ini berpunca daripada perguruan dan pengambilan silsilah yang banyak oleh seseorang tokoh. Kedapatan seseorang shaykh itu mengambil silsilah daripada beberapa jalur perguruan dan di sinilah terjadi banyak pertemuan dalam silsilah. Sebab itu sesuatu silsilah tarekat selalunya akan bertembung dengan silsilah tarekat lain terutamanya pada tokoh-tokoh peringkat awalan. Pertembungan dan persamaan ini menunjukkan sumber pengambilan yang satu iaitu hadrat Nabi s.a.w.

Pertembungan silsilah menjadikan tarekat-tarekat tersebut mempunyai banyak persamaan terutamanya dalam perkara-perkara asas seperti amalan asas, disiplin ilmu, ahwal dan maqamat, adab dan sebagainya. Namun ini tidaklah menafikan wujudnya beberapa perbezaan kecil antara tarekat-tarekat tersebut yang terdapat pada perkara-perkara cabang (furu’) seperti tertib dan kaedah berzikir dan sebagainya yang merupakan sebahagian daripada ijtihad para shaykh. Inilah sebenarnya antara yang membezakan satu tarekat dengan tarekat lain dan kerana ini jugalah sesuatu tarekat itu dinisbahkan atau dinamakan dengan nama tertentu sempena nama shaykh yang telah melakukan beberapa ijtihad dalam silsilah tersebut.

Silsilah Ringkas (Uwaysiyyah)

Kajian terhadap beberapa silsilah tarekat terkenal mendapati adanya silsilah ringkas iaitu silsilah yang dihubungkan terus kepada Nabi s.a.w. oleh seseorang shaykh tanpa melalui rangkaian para shaykh yang bersambungan dengan baginda, di mana shaykh tersebut mengambil secara terus dari Nabi s.a.w. secara rohani (yaqazah). Atau seseorang shaykh mendapat didikan kerohanian secara rohani daripada shaykh terdahulu yang tidak sezaman dengannya. Silsilah seperti ini dikenali sebagai silsilah uwaysiyyah atau barzakhiyyah (ruhaniyyah).

Mengenai keharusan pertemuan dengan Nabi s.a.w. secara rohani setelah kewafatan baginda, Imam Jalal al-Din al-Suyuti telah membahaskannya dalam karya yang ditulis khusus mengenai perkara ini iaitu Tanwir al-Halak fi Jawaz Ru’yat al-Nabiyy wa al-Malak di mana beliau telah menjelaskan dengan terperinci hadis-hadis yang berkaitan dengan persoalan ini, yang dapat disimpulkan bahawa ia adalah satu keharusan.

Sekalipun sesetengah shaykh mengambil terus daripada Nabi s.a.w. secara rohani namun mereka memenuhi persyaratan asasi iaitu bersilsilah (berguru) di mana realitinya mereka mempunyai silsilah zahir yang bersambungan dengan Nabi s.a.w. Permulaan perjalanan mereka adalah menerusi sistem biasa iaitu bersilsilah (berguru) namun pada suatu peringkat, dengan kurnia Allah, mereka mendapat didikan rohani secara langsung dari Nabi s.a.w. atau shaykh terdahulu sehingga dinisbahkan terus kepada baginda atau shaykh tersebut. Atau mereka terlebih dahulu mengalami pengalaman kerohanian tersebut secara jadhbah (kurniaan ilahi), setelah itu mereka mendapat didikan dan pengesahan daripada para shaykh sezaman dengan mereka seperti yang pernah terjadi pada Shaykh `Abd al-Khaliq al-Ghujdawani. Oleh itu kebenaran pengalaman kerohanian yang mereka lalui dan perolehi itu sudah diuji, diakui dan disahkan terlebih dahulu menerusi sistem didikan kerohanian asas. Perkara ini diperlukan supaya seseorang itu tidak membuat dakwaan sewenang-wenangnya sehinggalah diuji dan disahkan terlebih dahulu.

Wujudnya hubungan secara rohani merupakan suatu perkara yang sudah diakui dan diterima umum di kalangan ahli tasawwuf. Dalam sejarah perkembangan ilmu tarekat, terdapat beberapa tarekat yang mana silsilahnya merupakan silsilah uwaysiyyah. Antaranya ialah tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah yang dinisbahkan kepada Shaykh Ahmad ibn Idris al-Fasi seperti yang akan diterangkan selepas ini. Antaranya juga ialah Tarekat Tijaniyyah yang dinisbahkan kepada Shaykh Ahmad al-Tijani yang asalnya mengamalkan Tarekat Khalwatiyyah dan kemudian telah menerima pelajaran tarekat dari Nabi s.a.w. sendiri secara langsung. Begitu juga dengan Tarekat Sanusiyyah yang dinisbahkan kepada Muhammad ibn `Ali al-Sanusi (murid kepada Sayyid Ahmad ibn Idris) di mana beliau juga dikatakan telah menerima pelajaran tarekat dari Nabi s.a.w. secara langsung. Shaykh `Abd al-Wahhab al-Sha`rani juga telah mengemukakan satu silsilah tarekat secara uwaysiyyah ini di mana antara beliau dengan Nabi s.a.w hanya ada dua orang shaykh iaitu Shaykh `Ali al-Khawas dan Shaykh Ibrahim al-Matbuli.

Isu Silsilah Ringkas Dalam Tarekat
Naqshabandiyyah dan Ahmadiyyah Idrisiyyah


Tarekat Naqshabandiyyah dan Ahmadiyyah merupakan antara dua buah tarekat yang sedang berkembang dan mempunyai ramai pengikut di Malaysia. Kajian terhadap silsilah kedua-dua tarekat ini mendapati ia mempunyai unsur silsilah uwaysiyyah (ruhaniyyah). Inilah antara perkara yang selalu dibangkitkan dan dipersoalkan mengenai kedua-dua tarekat ini. Berikut adalah beberapa penjelasan mengenai perkara tersebut.

i-Silsilah Naqshabandiyyah

Penelitian terhadap silsilah tarekat-tarekat muktabar mendapati ia pada kebiasaannya akan sampai kepada Nabi s.a.w. menerusi dua orang sahabat besar baginda iaitu Sayyidunā Abū Bakr al-Siddīq r.a. dan Sayyidunā `Ali k.w.h. Begitu juga Tarekat Naqshabandiyyah di mana ia didapati memiliki silsilah yang bersambung dengan kedua-dua orang sahabat besar ini. Ia mempunyai tiga jaluran silsilah. Dua darinya menerusi Sayyidunā `Ali k..w.h. dan satu lagi menerusi Sayyidunā Abū Bakr al-Siddīq. r.a.

Silsilah pertama Tarekat Naqshabandiyyah ialah melalui `Ali ibn Abi Talib (w.40H.), al-Husayn ibn `Ali (w.61 H.), `Ali Zayn al-`Abidin (w.121 H.), Muhammad al-Baqir (w.117 H.), Ja`fār al-Sādiq (w.148 H.), Musa al-Kazim (183 H.), `Ali al-Rida (w.202 H.), Ma`ruf al-Karakhi (w.201 H.), al-Sari al-Saqati (w.253 H.), Abu al-Qasim al-Junayd (w.298 H.), Abu `Ali al-Rudhbari (w.322/323 H.), Abu `Ali al-Katib (w.341/343 H.), Abu `Uthman al-Maghribi (w. 373 H.), Abu al-Qasim al-Karkani dan Abu `Ali al-Farmadi (w.473 H.), Yusuf al-Hamadani (w.535 H.), `Abd al-Khāliq al-Ghujdawānī (w.575 H.), `Arif al-Riwakri (w.636 H.), Mahmud al-Injir al-Faghnawi (w.717 H.), `Ali al-Ramitani (w.715/721 H.), Muhammad Baba al-Sammasi (w.755 H.), Amir Kulal (w.772 H.) dan Imam Tarekat Naqshabandiyyah Shaykh Muhammad Bahā’ al-Dīn Shāh Naqshaband (w.791 H.). Silsilah pertama ini lebih dikenali di kalangan ahli Tarekat Naqshabandiyyah sebagai silsilah keemasan (al-silsilah al-dhahabiyyah) kerana persambungannya dengan imam-imam ahl al-bayt (keluarga Nabi s.a.w.)

Silsilah kedua bagi Tarekat Naqshabandiyyah pula ialah melalui `Ali ibn Abi Talib, al-Hasan al-Basri (w.110 H.), Habib al-`Ajami (w.125 H.), Dawud al-Ta’i (w.162 H.), Ma`ruf al-Karakhi (w.201 H.) sehinggalah sampai kepada Abu `Ali al-Farmadi dan seterusnya sampai kepada Shaykh Muhammad Bahā’ al-Dīn Shāh Naqshaband sebagaimana pada silsilah pertama. Silsilah kedua ini didapati bertemu dengan silsilah pertama pada Ma`ruf al-Karakhi.

Manakala silsilah ketiga bagi Tarekat Naqshabandiyyah pula ialah menerusi Abū Bakr al-Siddīq (w.13 H.), Salman al-Farisi (w.33 H.), al-Qasim ibn Muhammad ibn Abi Bakr (w.108 H.), Ja`fār al-Sādiq (w.148 H.), Abu Yazid al-Bistami (w.261 H.), Abu al-Hasan al-Kharqani (w.425 H.), Abu `Ali al-Farmadi (w.473 H.) sehinggalah sampai kepada Muhammad Bahā’ al-Dīn Shāh Naqshaband (w.791 H.) sebagaimana pada silsilah pertama dan kedua. Silsilah ketiga ini didapati bertemu dengan silsilah pertama dan juga silsilah kedua pada Abu `Ali al-Farmadi.

Silsilah ketiga inilah yang lebih masyhur dan diperturunkan di kalangan ahli Tarekat Naqshabandiyyah. Walau bagaimanapun kajian mendapati silsilah ketiga ini kelihatan terputus pertalian zahirnya pada dua tempat iaitu di antara Imam Ja`fār al-Sādiq dengan Shaykh Abu Yazid al-Bistami dan di antara Shaykh Abu Yazid al-Bistami dengan Shaykh Abu al-Hasan al-Kharqani.

Imam Ja`fār al-Sādiq lahir pada 18 Ramadan, 83 H./ 702 M. dan wafat pada tahun 148 H./ 765 M. Shaykh Abū Yazīd al-Bistāmī pula, sebagaimana yang dicatatkan oleh al-Nabhani, wafat pada tahun 261 H./ 875 M., ketika berumur 73 tahun. Oleh itu tarikh kelahiran Shaykh Abū Yazīd ialah pada tahun 188 H. iaitu sekitar 40 tahun setelah kewafatan Imam Ja`fār al-Sādiq. Berdasarkan kepada fakta ini maka Shaykh Abū Yazīd al-Bistāmī tidak pernah bertemu dengan Imam Ja`fār al-Sādiq. Shaykh Abu al-Hasan al-Kharqani wafat pada 10 Muharram, 425 H./ 1033 M.

Oleh kerana Shaykh Abū Yazīd wafat pada tahun 261 H., maka jarak masa di antara kewafatan kedua-dua tokoh ini ialah kurang lebih 162 tahun. Dengan itu, besar kemungkinan kedua-dua tokoh ini tidak pernah bertemu semasa hidup. Fakta ini dikuatkan lagi dengan catatan mengenai kata-kata Shaykh Abu al-Hasan al-Kharqani sendiri yang dimuatkan oleh al-`Attar dalam karyanya, Tadhkirah al-Awliya’, bahawa Abū Yazīd telah wafat setelah 39 tahun Shaykh Abu al-Hasan al-Kharqani dilahirkan. Hakikat ini memang telah diketahui dan diakui oleh ahli Tarekat Naqshabandiyyah itu sendiri sejak dahulu lagi. Menurut mereka hubungan tersebut berlaku secara rohani yang lebih dikenali di sisi mereka dengan istilah uwaysiyyah (barzakhiyyah). Menurut mereka, Shaykh Abu al-Hasan al-Kharqani telah menerima rahsia tarekat serta mendapat didikan dan pelajaran dari Shaykh Abu Yazid al-Bistami secara rohani. Shaykh Farid al-Din al-`Attar telah menceritakan secara lebih terperinci tentang pengalaman kerohanian yang dialami oleh Shaykh Abu al-Hasan al-Kharqani sewaktu mendapat pelajaran dan didikan kerohanian dari Shaykh Abū Yazīd al-Bistami. Shaykh Abu Yazid pula telah menerima rahsia tarekat tersebut dari Imam Ja`fār al-Sādiq juga secara rohani. Lantaran itu para shaykh tersebut dihubungkan terus dalam silsilah.

Kajian mendapati bahawa silsilah yang kelihatan terputus itu sebenarnya bersambungan. Ini kerana terdapatnya para shaykh yang tidak disebut dalam silsilah. Para shaykh yang tidak disebut nama mereka itu secara kronologinya adalah penghubung di antara para shaykh yang dihubungkan secara kerohanian. Di antara Shaykh Abu Yazid al-Bistami dengan Imam Ja`fār al-Sādiq, terdapat dua orang shaykh yang tidak disebut dalam silsilah iaitu Imam `Ali al-Rida (w.202 H.) dan Imam Musa al-Kazim (w.183 H.).

Drs. Imran Aba, dalam karya beliau, Di Sekitar Masalah Tariqat Naqsyabandiyah, menyebut seorang lagi shaykh yang menjadi pengantara di antara Shaykh Abu Yazid al-Bistami dengan Imam `Ali al-Rida iaitu Ma`ruf al-Karakhi. Perkara ini tidak menimbulkan masalah kerana kedua-dua tokoh tersebut hidup sezaman di mana Ma`ruf al-Karakhi wafat pada tahun 201 H. dan Imam `Ali al-Rida pula wafat lebih kurang setahun selepas itu iaitu pada tahun 202 H. Oleh itu Shaykh Abu Yazid al-Bistami dipercayai telah menerima asuhan dan didikan dari kedua-duanya sekali, sebagaimana yang berlaku pada Shaykh Muhammad Baha’ al-Din dalam hubungan beliau dengan Shaykh Muhammad Baba al-Sammasi dan Shaykh Amir Kulal.

Manakala di antara Shaykh Abu al-Hasan al-Kharqani dengan Shaykh Abu Yazid al-Bistami pula, terdapat tiga orang shaykh yang tidak disebut iaitu Shaykh Abu Muzaffar al-Tusi, Shaykh Abu Yazid al-`Ishqi dan Shaykh Muhammad al-Maghribi (w. 279/299 H.). Dengan ini, sanad yang kelihatan terputus zahirnya adalah bersambungan pada hakikatnya. Hakikat bersambungnya sanad Tarekat Naqshabandiyyah ini telah disahkan oleh al-Imam al-Muhaddith al-Dahlawi.

Melihat dari sudut ilmu mustalah hadith pula, riwayah atau sanad yang terputus seperti silsilah ketiga tarekat Naqshabandiyyah ini, disebut mursal di mana mursal itu, sebagaimana menurut shaykh Muhammad al-Zarqani, ialah sanad atau perawi yang gugur sama ada seorang atau lebih, dan sama ada perawi yang digugurkan itu pada permulaan, akhir atau pertengahannya. Mengenai mursal ini, ulama berbeza pendapat sama ada ia boleh dijadikan hujah atau tidak. Menurut al-Zarqani lagi, Imam Malik dan Imam Ahmad, pada satu pendapat kedua-duanya yang masyhur dan Abu Hanifah serta pengikut-pengikutnya yang terdiri dari kalangan ahli fiqh, usul dan hadis, berpendapat bahawa mursal itu boleh dijadikan hujah dalam masalah hukum dan lainnya.

Oleh itu, silsilah ketiga tarekat Naqshabandiyyah ini dari neraca ilmu mustalah hadith, boleh diterima. Tambahan lagi, terdapat saluran lain yang berfungsi menguatkan silsilah yang dikatakan terputus itu. Ini bersesuaian dengan pendapat yang diutarakan oleh Shamsuddin Muhammad al-Tibrizi di mana beliau menyatakan bahawa sekiranya sah adanya sanad lain yang mana perawinya bukan perawi sanad yang pertama, maka ia boleh dijadikan hujah.

ii-Silsilah Ahmadiyyah Idrisiyyah

Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah merupakan tarekat yang dinisbahkan kepada Shaykh Ahmad ibn Idris al-Fasi. Beliau dikatakan telah menerima tarekat secara langsung dari Nabi s.a.w. Sebelum itu beliau dikatakan mempunyai satu silsilah perguruan yang mana antara beliau dengan Nabi s.a.w hanyalah terdapat tiga orang sahaja iaitu Shaykh `Abd al-Wahhab al-Tazi, Shaykh `Abd al-`Aziz al-Dabbagh al-Fasi dan Abu al-`Abbas Khidr a.s. Sekalipun beliau memiliki silsilah uwaysiyyah namun realitinya beliau mempunyai rantaian silsilah perguruan yang bersambungan dengan hadrat Nabi s.a.w. menerusi silsilah tarekat Shadhiliyyah Nasiriyyah.

Penutup

Silsilah merupakan perkara penting dalam ilmu tarekat. Ia bukan sahaja petanda kebenaran sesuatu tarekat, malah merupakan saluran pengaliran keberkatan daripada sumber asal iaitu hadrat Nabi s.a.w. Tanpanya sesuatu ajaran dan amalan kerohanian itu tidak diiktiraf sebagai tarekat muktabar. Orang yang tidak mempunyai silsilah perguruan yang sampai ke hadrat Nabi s.a.w. pula tidak dikira sebagai pewaris kerohanian baginda.

Walau bagaimanapun ini bukanlah bererti ajaran dan amalan kerohanian seseorang yang bersilsilah itu bersifat `ismah (terpelihara) daripada penyelewengan sekiranya pertunjuk al-Qur’an, sunnah dan huraian para ulama khasnya ulama tasawwuf tidak dipelajari, difahami dan diikuti. Begitu juga ia tidaklah bererti ajaran dan amalan kerohanian orang yang tidak bersilsilah itu tidak sah, tidak diterima atau menyeleweng dan terpesong selagi ia tidak bercanggah dengan al-Qur’an, sunnah dan huraian para ulama. Kesesatan dan penyelewengan selalunya terjadi apabila seseorang cuba menyelami rahsia kerohanian tanpa menerusi saluran silsilah yang benar dan bersambungan dengan hadrat Nabi s.a.w.

Rujukan

Al-`Attar, Farid al-Din. 1984. Tadhkirah al-Awliya’ (ptrj.) `Abd al-Majid Khatib. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1963. Some Aspects of Sufism As Understood And Practised Among The Malays. Singapore: Malaysian Sociological Research Institute Ltd.
Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din. T.th. Sahih wa Da`if al-Jami` al-Sahih wa Ziyadatuh. T.tp.: Al-Maktab al-Islami.
Al-Bayquni, `Umar ibn Muhammad. 1999. al-Manzumah al-Bayquniyyah (pnyt.) Muhammad ibn `Abd al-Baqi al-Zarqani. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
al-Bazzar, Abu Bakr Ahmad ibn `Amr. T.th. Musnad al-Bazzar. T.tp.: t.pt.
al-Dahlawi, Ahmad ibn `Abd al-Rahim. t.th. Al-Qawl al-Jamil. t.pt.
Dawud ibn `Abd Allah. 1996. Diya' al-Murid, Dlm. Diyaul Murid Syeikh Daud al-Fathani Pedoman Zikir Menuju Ilahi (pnyt.) Wan Mohd. Shaghir Abdullah. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah.
al-Dimashqi, `Abd al-Qadir `Isa. 1401/1981. Haqa'iq `an al-Tasawwuf. Aman: al-Matba`ah al-Wataniyyah.
Al-Duzjawi, Muhammad Zahid ibn Husayn. 1328/1910. Irgham al-Murid fi Sharh al-Nuzum al-`Atid li Tawassul al-Murid bi Rijal al-Tariqah al-Naqshabandiyyah al-Khalidiyyah al-Diya’iyyah. Istanbul: Matba`ah Bakr Afandi.
al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1406/1986. Khulasat al-Tasanif fi al-Tasawwuf (pnyt.) Muhammad Amin al-Kurdi. Dlm. Majmu`at Rasa’il al-Imam al-Ghazali. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
al-Ghazali, Muhammad ibn Muhammad. 1346. Ihya’ `Ulum al-Din. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
al-Hakim, Muhammad ibn `Abd Allah al-Naisaburi. 1411/1990. al-Mustadrak `Ala al-Sahihayn. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
al-Harawi, `Ali ibn Husayn. t.th. Rashahat `Ain al-Hayah. Turkey: al-Maktabah al-Islamiyyah Muhammad Izdamir.
al-Hindi, `Ala’ al-Din al-Muttaqi. 1390. Kanz al-`Ummal. Halab: Matba`ah al-Balaghah.
al-Hujwiri, `Ali ibn `Uthman al-Jallabi. t.th. Kashf al-Mahjub. Qahirah: Matba`ah al-Ahram al-Tijariyyah.
Ibn `Ajibah, Ahmad. 1331. al-Futuhat al-Ilahiyyah fi Sharh al-Mabahith al-Asliyyah. T.tp.: al-Matba`ah al-Jamaliyyah.
Ibn `Ajibah, Ahmad. 1403/1983. Iqaz al-Himam fi Sharh al-Hikam. Bayrut: Dar al-Kitab al-`Arabi.
Ibn Khaldun, `Abd al-Rahman ibn Muhammad. t.th. Shifa’ al-Sa'il li Tahdhib al-Masa'il. Bayrut: al-Matba`ah al-Kathulikiyyah.
Idris, Ahmad. 1359/1940. Majmu`ah Ahzab wa Awrad wa Rasa’il. Misr: Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
Imran Aba. 1980. Di Sekitar Masalah Thariqat Naqsyabandiyah. Jakarta: Menara Kudus.
al-Iskandari, Taj al-Din Ahmad ibn Ahmad ibn `Ata’ Allah. 1381/1961. Miftah al-Falah wa Misbah al-Arwah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
al-Jaza'iri, `Abd al-Qadir. 1344. al-Mawaqif. t.tp: Matba`ah al-Shabab.
al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1968. Al-Fath al-Rabbani wa al-Fayd al-Rahmani. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1330. Futuh al-Ghayb. Misr: Matba`ah Sharikah al-Tamaddun al-Sina`iyyah.
al-Jilani, `Abd al-Qadir. 1956. Al-Ghunyah li Talib Tariq al-Haq. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
Kabbani, Muhammad Hisham. 1995. The Naqshabandi Sufi Way: History And Guidebook of The Saint of The Golden Chain. Chicago: Kazi Publications, Inc.
al-Khani, `Abd al-Majid ibn Muhammad. 1306. Al-Hada'iq al-Wardiyyah fi Haqa'iq Ajilla’ al-Naqshabandiyyah. Damshiq: t.pt.
al-Kurdi, Muhammad Amin.t.th. Tanwir al-Qulub. Qahirah: Dar al-Fikr.
al-Kumushkhanawi, Ahmad. 1328. Jami` al-Usul fi al-Awliya’. Qahirah: t.pt.
al-Madani, Mustafa. 1316. Al-Nusrah al-Nabawiyyah. Misr: al-Matba`ah al-Amiriyyah.
Mahmud, `Abd al-Halim. t.th. Qadiyyat al-Tasawwuf: al-Munqidh min al-Dalal. Qahirah: Dar al-Ma`rifah.
Mahmud, `Abd al-Halim. t.th. Al-Madrasah al-Shadhiliyyah wa Imamuha Abu al-Hasan al-Shadhili. Qahirah: Dar al-Kitab al-Hadithah.
Al-Manufi, Sayyid Mahmud Abu al-Fayd.1387/1967. Jamharat al-Awliya' wa A`lam Ahl al-Tasawwuf. Qahirah: Muassasah al-Halabi wa Shurakahu li al-Nashr wa al-Tawzi`.
Mohd. Sulaiman Hj. Yasin.1989. Mengenal Ilmu Tasawuf. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Menteri, Jabatan Perdana Menteri.
al-Nabhani, Yusuf ibn Isma`il. 1983 M. Jami` Karamat al-Awliya’. Bayrut: t.pt.
al-Naysaburi, Muslim ibn al-Hajjaj al-Qushayri. 1374/1954. Sahih Muslim. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.
al-Qushayri, `Abd al-Karim ibn Hawazin. 1990. al-Risalah al-Qushayriyyah. Bayrut: Dar al-Jayl.
al-Razi, Muhammad Fakhr al-Din ibn `Umar. 1405/1985. al-Tafsir al-Kabir wa Mafatih al-Ghayb. Bayrut: Dar al-Fikr li al-Tiba`ah wa al-Nashr wa al-Tawzi`.
al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1988. al-Anwar al-Qudsiyyah fi Ma`rifat Qawa'id al-Sufiyyah. Jil.1. Bayrut: Maktabah al-Ma`arif.
al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1321. Lata'if al-Minan wa al-Akhlaq. Misr: al-Matba`ah al-Maimaniyyah.
al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. 1311. Lawaqih al-Anwar al-Qudsiyyah fi Bayan al-`Uhud al-Muhammadiyyah. Jil.1. Matba`ah al-`Amirah al-`Uthmaniyyah.
al-Sha`rani, `Abd al-Wahhab. t.th. al-Tabaqat al-Kubra. Bayrut: al-Maktabah al-Sha`biyyah.
al-Sulami, Abu `Abd al-Rahman. 1372. Tabaqat al-Sufiyyah. Misr: Matba`ah Dar al-Kitab al-`Arabi.
Surur,Taha `Abd al-Baqi.1368. Shakhsiyyat Sufiyyah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
al-Suyuti, Jalal al-Din `Abd al-Rahman. T.th. Tanwir al-Halak fi Jawaz Ru’yat al-Nabiyy wa al-Malak. T.tp.: t.pt.
Al-Suyuti, Jalal al-Din `Abd al-Rahman ibn Abi Bakr. T.th. al-Jami` al-Saghir min Hadith al-Bashir al-Nadhir. T.tp: t.pt.
Al-Tibrizi, Sham al-Din Muhammad al-Hanafi. T.th. al-Dibaj al-Mudhahha., t.p.
Van Bruinessen, Martin. 1994. Tarekat Naqsyabandiyyah Di Indonesia. Bandung: Penerbit Mizan.
Zaruq, Ahmad. 1318. Qawa`id al-Tasawwuf. Qahirah: Matba`ah Misr.
al-Zubaydi, Muhammad ibn Muhammad al-Husayni. t.th. Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin. Bayrut: Dar al-Fikr.
al-Ghazali, “Khulasat al-Tasanif”, hlm.146; al-Dahlawi, al-Qawl al-Jamil, hlm.107.
Lihat: `Isa, Haqa’iq `an al-Tasawwuf.
Mahmud, al-Madrasah al-Shadhiliyyah, hlm.340.
al-Attas, Some Aspects, hlm.43.
al-Kurdi, Tanwir, hlm.500.
al-Qur’an, Surat al-Tawbah, 119.
al-Qur’an, Surat Luqman, 15.
al-Qur'an, Surat al-Furqan,59.
al-Qur’an, Surat al-Nahl, 43.
al-Qur’an, Surat al-Isra’, 71.
Al-Suyuti, al-Jami` al-Saghir, juz.1, hlm.26620.
Al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-`Ummal, juz.3, hlm.150.
Al-Albani, Sahih wa Da`if al-Jami` al-Sahih, juz.1, hlm.738.
al-Hindi, Kanz al-`Ummal, juz.11, hlm.536.
al-Naysaburi, al-Mustadrak, jil.3, hlm.153; al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, juz.1, hlm.66.
Lihat: Zaruq, Qawa`id al-Tasawwuf, hlm.65.
Lihat: `Isa, Haqa’iq, hlm.38.
Ibn Abi Jumrah, Bahjat al-Nufus, jil.3, hlm.146.
al-Kurdi, Tanwir al-Qulub, hlm.45.
Lihat: Ibn Khaldun, Syifa’ al-Sa’il, hlm.35-39; Zaruq, Qawa`id al-Tasawwuf, hlm.40.
al-Ghazali, Khulasat al-Tasanif, hlm.145.
Ibid, hlm.146.
Lihat: al-Ghazali, al-Ihya’, jil.3, hlm.55,65.
Al-Razi, al-Tafsir al-Kabir, jil.1, hlm.142.
Al-Kurdi, Tanwir al-Qulub, hlm.44.
Al-Sha`rani, Lata’if al-Minan, jil.1, hlm.50.
Mustafa al-Madani, al-Nusrah al-Nabawiyyah, hlm.13.
al-Jilani, Futuh al-Ghayb, hlm.201.
al-Sulami, Tabaqat al-Sufiyyah, hlm.365.
al-Iskandari, Miftah al-Falah, hlm.30.
al-Sha`rani, Lata'if al-Minan, Jil.1, hlm.51.
al-Sha`rani, Lawaqih al-Anwar, Jil.1, hlm.51.
Zaruq, Qawa'id al-Tasawwuf, hlm.65.
al-Jaza’iri, al-Mawaqif, Jil.1, hlm.305.
al-Hujwiri, Kashf al-Mahjub, hlm.124.
al-Sulami, Tabaqat al-Sufiyyah, hlm.141.
al-Zubaydi, Ittihaf, Jil.1, hlm.19.
Mahmud, Qadiyyat al-Tasawwuf, hlm.281.
al-Zubaydi, Ittihaf, Jil.1, hlm.19.
Surur, Shakhsiyyat Sufiyyah, hlm.154.
Mohd. Sulaiman, Mengenal Ilmu Tasawuf, hlm.120.
al-Manufi, Jamharat al-Awliya', jil.1, hlm.324 dan jil.2, hlm.212; Ibn `Ajibah, Iqaz al-Himam, jil.1, hlm.6.
al-Sha`rani, al-Anwar al-Qudsiyyah, jil.1, hlm.31 dan 32.
al-Dahlawi, al-Qawl al-Jamil, 108-116.
al-Kumushkhanawi, Jami` al-Usul, hlm.196.
al-Qushayri, al-Risalah, hlm.380.
Ibn `Ajibah, al-Futuhat, hlm.266.
al-Kumushkhanawi, Jami` al-Usul, hlm.196.
Ibn `Ajibah, al-Futuhat, hlm.266.
al-Kurdi, Tanwir, hlm.500.
Mahmud, Qadiyyat al-Tasawwuf, hlm.117.
Ibid, hlm.118.
Al-Naysaburi, Sahih Muslim, juz.1, hlm.38.
Al-Naysaburi, Sahih Muslim, juz.1, hlm.33.
Lihat: al-Harawi, Rashahat, hlm.6; al-Khani, al-Hada'iq, hlm.9.
Lihat: al-Suyuti, Tanwir al-Halak.
Lihat: al-Khani, al-Hada’iq al-Wardiyyah.
Bruinessen, Tarekat Naqsyabandiyah, hlm.49.
al-Sha`rani, al-Anwar al-Qudsiyyah, jld.1, hlm.32.
al-Khani, al-Hada'iq, hlm.6; al-Harawi, Rashahat, hlm.6-7.
al-Khani, al-Hada'iq, hlm.6.
Ibid, al-Harawi, Rashahat, hlm.6.
Ibid.
al-Kurdi, Tanwir, hlm.500-502; al-Khānī, al-Hada'iq, hlm.6; al-Harawi, Rashahat, hlm.6.
Kabbani, The Naqshabandi, hlm.95.
al-Nabhani, Jami` Karamat, jld.2, hlm.135.
Kabbani, The Naqshabandi, hlm.107; al-Hujwiri, Kashf al-Mahjub, jld.2. hlm.377.
al-`Attar, Tadhkirah al-Awliya’, hlm.149.
al-Harawi, Rashahat, hlm.6; al-Khani, al-Hada'iq, hlm.9.
al-Khānī, al-Hada'iq, hlm.105.
al-`Attar, Tadhkirah al-Awliya’, hlm.149.
al-Khānī, al-Hada'iq, hlm.97.
al-Duzjawi, Irgham al-Murid, hlm.44.
Imran Aba, Di Sekitar Masalah Thariqat, hlm.42.
Lihat: al-Khani, al-Hada’iq; al-Nabhani, Jami` Karamat.
al-Duzjawi, Irgham al-Murid, hlm.45; Imran Aba, Di Sekitar Masalah Thariqat, hlm.42; Dawud, Diya' al- al-Dahlawi, al-Qawl al-Jamil, hlm.107.
al-Bayquni, al-Manzumah, hlm.54.
al-Tibrizi, al-Dibaj, hlm.37.
al-Nabhani, Jami` Karamat, jld.1, hlm.566.
Ibn Idris, Majmu`ah Ahzab, hlm.202.
Lihat: Ahmad, Majmu`at Ahzab, hlm.202.


No comments:

Post a Comment