Monday, March 6, 2023

ZIKIR AL-LATIF

Di dalam kitab berjudul "99 Nama Allah (Asmaul Husna) - Pengertian dan Huraian", pengarangnya (Ustaz Azmi Ahmad) telah menukilkan beberapa asrar dan hakikat lafaz "Al-Latif" ;

Syeikh Ahmad Abd Al-Jawwad [رحمه الله] berkata : 

"Makna Al-Latif ialah Tuhan yang Amat Lemah Lembut dan belas kasihan terhadap sekalian makhluk-Nya sama ada mereka mengetahui atau tidak. Allah Amat Halus, tidak terjangkau oleh mata kasar".

Imam Al-Qusyairi [رحمه الله] berkata :

"Al-Latif ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang halus dan samar-samar. Sifat ini merupakan sifat yang wajib bagi-Nya. Dia juga berbuat baik dengan menyampaikan segala yang bermanfaat dengan belas kasihan. Sifat ini merupakan sifat perbuatan yang layak bagi-Nya".

Imam Al-Ghazali [رحمه الله] menjelaskan pengajaran yang dapat diambil daripada nama ini seperti berikut : 

"Manusia mengambil pengajaran daripada sifat ini dengan bersikap lemah lembut terhadap manusia dalam usaha mengajak mereka kepada Allah dan memimpin mereka kearah kebahagiaan akhirat, bukan dengan cara mencela, bersikap kasar, fanatik dan suka bertengkar. Sebaik-baik cara untuk menarik manusia supaya menerima kebenaran adalah dengan teladan yang mulia dan amalan yang baik. Cara ini lebih berkesan dan lebih halus daripada sekadar kata-kata yang berbunga-bunga."

Abuya Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki [رحمه الله] di dalam kitabnya "Abwabul Faraj" telah menukilkan kalam para Masyaikh Tarekat Al-Ahmadiah Al-Idrisiah [رضوان الله وعليهم أجمعين] berkenaan keistimewaan lafaz zikir dengan Ismullah Al-Latif, antara kata beliau :

"Guru kami, Syeikh Soleh Al-Ja'fari [غفر الله له ولي وليديه] berkata : "Nama Allah Al-Latif adalah nama yang agung untuk mendapatkan kasih sayang, kemurahan dan rezeki yang melimpah daripada Allah. Kami telah membaca dalam kitab-kitab ulama' Al-Jazair bahawa barangsiapa menginginkan kebaikan hendaknya dia mengucapkan (يا لطيف) dengan menggunakan huruf (يا). Dan apabila dia menginginkan terhindarnya segala bahaya maka hendaknya dia membaca (اللطيف) sahaja tanpa (يا). Guruku Sayyidi Syeikh Muhammad Al-Syarif Al-Idrisi [رضي الله عنه] menggunakan Alif Lam [اللطيف]، ketika menolak pelbagai macam bahaya, dan kami saat itu sedang berzikir bersamanya."


No comments:

Post a Comment