Friday, May 26, 2023

KEPENTINGAN MAKRIFAT DAN HAKIKAT

Dalam pengajian subuh hari ini, al-Habib Umar menyentuh seputar Ilmu Tasawwuf dan ciri-ciri ahli Sufi.

Al-Habib Umar menekankan bahawa Ilmu Tasawwuf terbina dengan panduan al-Qur'an dan Sunnah, maka amat penting untuk seseorang yang hendak menempuh jalan kesufian untuk mempelajari ilmu pengetahuan bersama penyucian hati lalu mengamalkannya dengan sesempurna mungkin.

Antara ilmu yang penting untuk ditingkatkan dan diperdalami dalam perjalanan rohani menuju Allah ialah Ilmu Yaqin. Ia adalah sebuah ilmu yang mengajarkan manusia untuk mendaki tangga demi tangga untuk mencapai makrifat yang khusus (المعرفة الخاصة) dan kecintaan yang sejati (المحبة الخالصة) yang dengannya dapat menyampaikan manusia kepada Allah (الوصول الى الله).

Ilmu tersebut terdapat pada ahli yaqin dari kalangan orang-orang yang mempunyai ilmu yang mendalam (الراسخون في العلم) dan para Awliya' Allah. 

Kebanyakan para wali-wali Allah dari kalangan umat ini adalah berada pada tahap ainul yaqin.

Ilmu tersebut membincangkan berkenaan cara untuk meningkatkan rohani dari ilmu yaqin menuju ainul yaqin kemudian meningkat kepada haqqul yaqin. Ilmu yaqin merangkumi tawhid pada peringkat yang tinggi.

Sufi yang sebenar adalah yang mencapai sekurang-kurangnya ainul yaqin iaitu menjadi hamba yang menyaksikan Allah. Di sebalik pandangan matanya ke dunia, mata hatinya melihat Allah. Inilah yang dipanggil sebagai Ihsan iaitu menjadi hamba Allah seolah-olah melihat Allah.

Seseorang yang tidak sampai kepada ainul yaqin, maka dia tidak disebut sebagai Sufi akan tetapi dipanggil sebagai pelajar ilmu Tasawwuf (mutasawwif).

Adapun orang yang tidak memperuntukkan masanya untuk belajar Tasawwuf tapi mencintai para Sufi dan cuba meniru keadaan mereka maka mereka dipanggil sebagai muhibbin dan mutashabbih iaitu orang yang meniru keadaan ahli Sufi dengan hati yang mencintai.

Orang yang mengikut-ngikut orang Sufi yang mencapai ainul yaqin tetap mendapat manfaat walaupun tidak mencapai apa yang mereka capai kerana Nabi Muhammad SAW bersabda, "Barangsiapa yang meniru sesuatu kaum, maka dia adalah termasuk dalam golongan mereka" dan sabda Rasulullah SAW, "Seseorang itu akan bersama dengan siapa yang dia cintai".

Seorang yang menempuh jalan kesufian hendaklah dari masa ke semasa meningkatkan pemahaman mengenai ilmu yaqin iaitu ilmu makrifat dan hakikat (ذوقا ومعرفة وتحققا).

Penempuh jalan kerohanian hendaklah jangan terhenti pada amalan zahir dan akhlak yang zahir semata-mata akan tetapi hendaklah dia mencari ilmu yang dapat meningkat kepada tahap rasa (tazawwuq) dan mencapai hakikat (tahaqquq).

Untuk mencapainya, seseorang itu hendaklah mencari orang yang dapat mengajarkannya ilmu yaqin yang dapat menjadikan dirinya mabuk dalam percintaan dengan Allah dan tenggelam dalam pengenalan kepada Allah.

Yaqin atau makrifat adalah perkara paling berharga yang turun ke dalam hati manusia. Maka ilmu yaqin adalah sesuatu yang sangat mulia untuk dituntut dan dicari. Amat sedikit orang yang memilikinya. Dalam 70,000 orang, hanya 1 orang yang dapat mencapainya. Namun ilmu itu tetap ada di sisi orang yang jujur perjalanannya dan benar tujuan hatinya dengan Allah.

Hendaklah mencari orang yang dapat menuangkan minuman makrifat ke dalam gelas hati kita. Rasa minuman itu adalah teramat lazat di sisi para Sufi.

Sesungguhnya setiap aspek dalam agama yang suci ini terdapat bahagian ilmu yaqin padanya. Dalam ilmu yaqin terdapat martabat yang berbeza-beza dan berperingkat-peringkat.

Seseorang itu pada permulaannya hanya mengetahui mengenai kewujudan ilmu yaqin tapi tidak pernah mempelajarinya, namun ilmu yaqinnya akan bertambah apabila dia mula mendengar penjelasan ilmu yaqin.

Pendengarannya kepada ilmu yaqin dengan tasdiq menyebabkan dirinya dapat menghidu haruman yang sangat wangi dari ilmu itu sehingga meningkat semangatnya untuk mencapai apa yang diketahuinya dan berkat kesungguhan dalam perjalanannya itu dapat menyampaikannya kepada ainul yaqin (seolah-olah melihat Allah) dan kemudian kepada haqqul yaqin.

Haqqul yaqin adalah kedudukan yang sangat tinggi dimana hatinya dapat merasakan kewujudan Allah yang bersama segala-galanya.

Telah berkata Allamatud Dunya, Habib Abdul Rahman Bilfaqih bahawa agama ini dilingkungi oleh lingkungan iman, islam, ihsan, ilmu dan yang melengkapkan kesemua itu adalah makrifat yang khusus dan kecintaan sejati kepada Allah.

Habib Abdullah bin Abu Bakar al-Aydarus mengatakan bahawa Sufi itu adalah orang yang menempuh perjalanan rohani sehingga hatinya sampai kepada Allah (السالك الواصل الذي تمّ سلوكه الى الله).

- Pengajian Subuh di Faydur Rahmah, Sungai Penchala, KL
Catatan oleh Iqbal Zain al-Jauhari, 25 Mei 2023


No comments:

Post a Comment