Monday, May 22, 2023

Pakaian Iman, Ma'rifat, Tauhid dan Mahabbah

Ketahuilah...

Bahawa الله تعالى memberikan anda pakaian yang banyak, antaranya pakaian iman, taat dan sunat.

Oleh itu, janganlah anda mengotorkan pakaian itu dengan tamak kepada makhluk dan bergantung harap kepadanya.

Berkata Syeikh Abul Hasan Asy-Syadzili 
رضى الله عنه ;

"Aku melihat Rasulullah صلى الله عليه وسلم sewaktu dalam tidur lalu Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda kepadaku ;

“Wahai Ali,
Bersihkanlah pakaianmu daripada kekotoran, semoga engkau mendapat pertolongan Tuhan pada setiap nafasmu."


Maka daku bertanya kepadanya (Baginda 
صلى الله عليه وسلم) ;

"Ya Rasulullah,
Apakah pakaian untukku?”

Lalu sabda Baginda صلى الله عليه وسلم ;

"Kalau engkau hendak tahu bahawa, engkau dikurniakan pakaian Iman, Ma'rifat, Tauhid dan Mahabbah."

Ketika itu fahamlah aku apa yang diberitahu oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم itu.

Sebagaimana firman الله تعالى dalam surah Al-Muddatstsir, ayat : 4 ;

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ .

"Dan pakaianmu bersihkanlah."

Barang siapa yang mengenal الله تعالى Tuhannya, menjadi kecil lah setiap sesuatu ada di dalam dunia ini. Sesiapa yang kasih kepada الله تعالى, padanya mudah sahaja tiap-tiap sesuatu itu.

Barang siapa yang mengesakan الله تعالى, dia tidak akan menyekutukan الله تعالى dengan sesuatu pun. Sesiapa yang benar-benar percaya ia bersama dengan الله تعالى, terselamat dia daripada tiap-tiap sesuatu.

Barang siapa yang menyerahkan dirinya kepada الله تعالى, sedikit sahaja ia melakukan perbuatan maksiat dan sekiranya dia melakukan maksiat, dia segera meminta ampun kepada-Nya dan الله تعالى mengampuninya.

Ketahuilah bahawa orang-orang keduniaan yang anda ambil manfaat, sedangkan mereka tidak mempunyai hajat keperluan lagi adalah lebih baik daripada keperluan pakaian pengantin sedangkan mereka betul-betul memerlukannya melebihi keperluan air agar roh dan agama mereka hidup subur.

Wahai saudaraku,
Janganlah anda mengotorkan Iman anda dengan perlakuan tamak haloba kepada makhluk (manusia) dan janganlah anda berpegang kecuali kepada Tuhan Rabbul Aalamiin. Jika anda ada keinginan untuk menjadi lebih kaya dalam kalangan manusia, putuskan harapan anda kepada-Nya dan tidak perlu anda berhajat untuk mendapatkan manfaat daripada-Nya.

Berkata Syeikh Abul Hasan Asy-Syadzili رضى الله عنه ;

"Jika harapanku terputus daripada memperoleh manfaat untuk diri aku, betapa pula tidak terputusnya harapanku kepada orang lain untuk diri aku. Jika aku berharap agar الله تعالى memberikan manfaat kepada orang lain selain aku, betapa pula tiada harapnya aku kepada Tuhan yang memberi nafkah dan rezeki untuk diri aku."

[ Kitab Tanwirul Qulub ]


No comments:

Post a Comment