Saturday, January 5, 2019

JANGAN MENGGUNAKAN AGAMA UNTUK MENDAPATKAN DUNIA

Berkata Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid, 

Janganlah kamu wahai manusia menggunakan agama itu untuk mendapatkan dunia. Memperjudikan agama untuk mendapatkan habuan daripada dunia. Menggunakan medan agama ini untuk memuaskan hawa nafsu kamu kepada dunia.

Hiduplah kamu di atas muka bumi ini dengan hidupnya seorang hamba. Berjalanlah kamu di atas muka bumi ini dengan menundukkan pandangan dan jangan ada di antara kamu yang mendabik dada kesombongan. Malah aib kamu itupun ditutup oleh Allah سبحانه وتعالى, maka apa perlu kamu banggakan?.

Di akhirat kelak, Allah سبحانه وتعالى berfirman kepada manusia ; "Wahai fulan, apa yang telah engkau lakukan di dunia?" Lalu mereka yang berilmu dan membaca Al-Quran menjawab ; "Aku lakukan ini semua kerana Engkau ya Allah." Lalu Allah سبحانه وتعالى berfirman ; "Engkau dusta!" Malaikat juga berkata ; "Kamu dusta!" Allah سبحانه وتعالى berfirman ; "Engkau membaca kerana mahu orang katakan suaramu sedap dan orang pun sudah kata suaramu sedap. Lalu Allah سبحانه وتعالى perintahkan kepada Malaikat untuk mencampakkan golongan ini ke dalam Neraka.

Kerana Allah سبحانه وتعالى tahu apa yang ada di dalam hati manusia. Apa niat mereka dalam melakukan kebaikkan. Kerana orang pertama yang akan dicampakkan ke dalam Neraka adalah orang 'alim orang yang mengajarkan ilmu dan al-Quran hanya untuk disanjung dan dipuji, bukan kerana Allah سبحانه وتعالى .

Maka lihat semula, apakah kita menggunakan Al-Islam untuk memperolehi nikmat dunia? Menggunakan Allah dan Rasul untuk mendapatkan habuan dunia demi memuaskan hawa nafsu? Maka lihat di mana kedudukan kita dalam melakukan kebaikkan. Lihatlah diri kita ini di dalam sifat kehambaan.

Moga-moga Allah سبحانه وتعالى jauhkan di dalam hati kita sifat riya' bilamana melakukan suatu perkara kerana Allah سبحانه وتعالى dan dijauhkan daripada bala dan fitnah ilmu. Moga-moga Allah سبحانه وتعالى kabulkan permintaan kita.


Aamiin Ya Robbal 'Alaamiin...


No comments:

Post a Comment