Saturday, January 5, 2019

SEBAHAGIAN DARIPADA ULAMA' SUFI

Ulama' yang berkecimpung dalam arena kesufian adalah ramai. Di antaranya, Imam al Ghazali رضى الله عنه, Imam Abu Nu'aim رضى الله عنه, al Hafiz Ibn al Solah رضى الله عنه, Imam al 'Izuddin ibn Abdul Salam رضى الله عنه, Imam Nawawi رضى الله عنه, Imam Suyuthi رضى الله عنه, Imam al Subki رضى الله عنه dan lain-lain.

Bahkan Abu Nu'aim رضى الله عنه menyebut dalam kitab Al-Hilyah, bahawa imam ahli sufi juga terdiri daripada imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah رضى الله عنه, Imam Malik رضى الله عنه, Imam Syafi'e رضى الله عنه dan Imam Ahmad ibn Hanbal رضى الله عنه.

Cukuplah mereka sebagai qudwah (ikutan) kaum Muslimin sama ada di timur mahu pun di barat dan pengikut mereka pula adalah dari kalangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah.


Pendapat Imam 4 Mazhab Tentang Tasawwuf

Imam Malik ibn Anas رضى الله عنه merupakan salah seorang dari kalangan Imam Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Beliau hidup pada kurun ke 2 dan wafat pada tahun 179 Hijrah. Beliau berkata :

"Sesiapa yang belajar ilmu feqah tetapi tidak belajar ilmu tasawwuf, maka ia adalah fasiq. Sesiapa yang belajar ilmu tasawwuf tetapi tidak belajar ilmu feqah maka ia adalah zindiq, dan sesiapa yang mengumpulkan kedua-duanya, maka ia adalah ahli haqiqat."

[ Qawaid al Tasawwuf, karangan Syeikh Ahmad Zarruq al Faasi رضى الله عنه, halaman 3 ].


Orang yang berilmu tetapi tidak mempunyai adab dan keikhlasan, kadang kala akan menyebabkan ia menjadi fasiq. Mempelajari adab dan banyak berzikir tanpa mengetahui ilmu, kadang kala akan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir zindiq. Manakala orang yang menghimpunkan di antara ilmu dan adab serta zikir-zikir sahajalah, yang mengetahui haqiqat agama ini.

Sebagaimana yang diperkatakan oleh Imam Syafi'e رضى الله عنه 

"Aku telah mendampingi ahli sufi, maka aku telah mendapat faedah daripada mereka dua kalimah. Mereka menyatakan :
"Waktu itu seperti pedang, sekiranya kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu." 
"Sekiranya diri kamu tidak disibukkan dengan perkara kebenaran, maka ia akan menyibukkan kamu dengan perkara-perkara yang batil."

[ Ta'yid al Haqiqah al 'Aliyyah karangan Imam Suyuti رضى الله عنه, halaman 15 ].

Oleh yang demikian, Syeikh Ali al Masyhur رحمة الله تعالى menyatakan : 
"Tidak mengetahui nilai masa melainkan dua golongan; ahli sufi dan ahli fikir Barat."

Imam Ahmad ibn Hanbal رضى الله عنه mewasiatkan kepada anaknya, Abdullah dengan berkata :
"Wahai anakku! Hendaklah kamu duduk bersama kaum ini (ahli sufi) kerana mereka telah melebihi kami dengan banyaknya ilmu, muraqabah, khasyah (takut kepada Allah), zuhud dan tinggi himmah."

[ Tanwir al Qulub karangan Syeikh Amin al Kurdi رضى الله عنه, halaman 405 ].


No comments:

Post a Comment