Saturday, January 5, 2019

PUJIAN DAN PENGIKTIRAFAN PARA ULAMA' TERHADAP TASAWWUF DAN SUFI

1) Imam Abu Hanifah رضى الله عنه (wafat 150 H)

Seorang ahli fikih Hanafi, Imam Al Hasfaki رضى الله عنه penulis kitab al-Durr al-Mukhtar telah mengutip ; Bahawa Syeikh Abu Ali Ad Daqqaq رضى الله عنه berkata : "Saya telah mengambil thariqat ini dari Syeikh Abu al Qasim An Nasr Abadi رضى الله عنه , beliau berkata ; saya mengambilnya dari Syeikh As Syibili رضى الله عنه dari Syeikh As Saqathi رضى الله عنه dari Syeikh Ma'ruf Al Kharkhi رضى الله عنه , dari Syeikh Daud Ath Tho'i رضى الله عنه dan beliau mengambil ilmu sekaligus thariqat dari Imam Abu Hanifah رضى الله عنه . Setiap dari mereka memuji dan mengakui keutamaan Imam Abu Hanifah رضى الله عنه . Kemudian Imam al Hasfaki رضى الله عنه berpendapat :
"Sungguh aneh sekali..! Bukankah para pembesar ulama itu sebagai teladanmu? Apakah mereka diragukan pengakuan kebanggaannya? Sedang mereka adalah para imam Thariqat ini sekaligus tokoh syari'ah (feqah) dan thariqat (tasawwuf), dan tokoh yang datang setelahnya dalam perkara ini adalah para pengikutnya, dan setiap orang yang bertolak belakang dengan apa yang mereka pegang itu ditolak dan dianggap bid'ah."

Imam Abdullah bin Al Mubarak رضى الله عنه berkata :
"Tidak seorangpun yang lebih patut menjadi ikutan selain Imam Abu Hanifah رضى الله عنه kerana beliau sebagai seorang imam yang bertaqwa, bersih, wara', 'alim dan faqih, beliau telah dibukakan kasyaf, faham, kecerdasan dan ketaqwaan yang tidak ada pada orang lain."

Imam nawawi رضى الله عنه mengatakan kepada seorang yang bercerita kepadanya ;
"Aku telah datang dari Imam Abu Hanifah رضى الله عنه, beliau mengatakan : "Engkau telah datang dari penduduk bumi yang sangat ahli ibadah. Daripada sinilah kita dapat mengetahui bahawa para Imam Mujtahid dan ulama yang 'amilin mereka itu sebenarnya adalah orang-orang sufi."
[ Hasyiyah Ibn Abidin m/s 395-396 ]


2) Imam Malik رضى الله عنه (wafat 179H)

Imam Malik رضى الله عنه berkata :
"Barangsiapa yang memahami feqah tanpa bertasawwuf maka fasiq, dan barangsiapa yang bertasawwuf tanpa memahami feqah maka zindiq, dan barangsiapa yang telah menghimpun antara keduanya bererti ia telah merealisasikan kebenaran." 
[ Hasyiyah Allamah al Adawi, Sheikh Ali al Adawi jilid 3 m/s 195 ]


3) Imam Asy Syafie رضى الله عنه (wafat 204H)

Imam Asy Syafi'e رضى الله عنه berkata :

"Saya telah suhbah dengan kaum Sufi selama 10 tahun, kemudian hanya mendapatkan pelajaran dua huruf , dalam satu riwayat tiga ungkapan :

1. Waktu itu umpama pedang, jika engkau tidak menggunakannya maka ia akan menebasmu. 
2. Nafsumu jika tidak kau sibukkan dengan yang haq (benar), maka ia menyibukkanmu dengan bathil (salah). 
3. Rasa ketiadaan daya (merasakan wujud kebesaran Allah) itu keselamatan (terpelihara) dirimu.
[ Tahqiq Haqiqah Aliyah, Sheikh al Hafiz Al Suyuti, m/s 15 ]


Berkata Imam Syafi'e رضى الله عنه lagi :
Aku cinta kepada dunia kalian itu tiga :

1) Tidak berlebih-lebihan (sederhana) 
2) Bergaul kepada orang dengan lemah lembut. 
3) Meneladani cara tokoh-tokoh tasawwuf.
[ Kasyful Khafa', Imam Al Ajluni, jld 1, m/s 341 ]


4) Imam Ahmad bin Hanbal رضى الله عنه (wafat 241H)

Pada awalnya sebelum Imam Ahmad رضى الله عنه bersuhbah (bersahabat) kepada orang sufi beliau berkata kepada puteranya :
"Wahai puteraku berpeganglah kepada Hadith, jauhilah mereka yang menamakan dirinya sufi, kerana boleh salah satu daripada mereka itu seorang yang bodoh terhadap hukum-hukum agama." Namun ketika beliau telah bersuhbah dengan Syeikh Abu Hamzah Al Baghdadi As Sufi رضى الله عنه dan mengetahui keadaan mereka, beliau berkata kepada puteranya : "Wahai puteraku, engkau harus bermujalasah (duduk bersama-sama) dengan kaum sufi, kerana mereka telah menambahkan ilmu, muraqabah, takut kepada Allah, zuhud dan ketinggian semangat kepada kita."
[ Kasyful Khafa', Imam al Ajluni, jld 1, m/s 341 ]


Telah berkata Imam Muhammad as Safaraini al Hanbali رضى الله عنه daripada Ibrahim bin Abdullah al Qalansi رضى الله عنه ; Bahawa Imam Ahmad رضى الله عنه telah berkata tentang kaum Sufi ;
"Aku tidak mengetahui orang yang lebih utama daripada mereka (sufi). Lalu ditanyakan ; "Mereka itu melantunkan nasyid, kemudian saling hanyut diri." Beliau menjawab : "Biarkan mereka bergembira sesaat bersama Allah سبحانه وتعالی ."
[ Manzumatul Adab, jilid 1 m/s 120 ]


5) Imam Abu Abdullah al Harits al Muhasibi رضى الله عنه (wafat 243H)

Dalam kitab Al-Wasaya merupakan salah satu kitab induk ahli tasawwuf yang diakui, beliau berkata tentang pengalaman mujahadahnya yang pahit untuk mendapat hak (Allah) sehingga mendapat petunjuk ke jalan Tasawwuf dan para tokohnya, :
"... Maka Allah menghubungkanku kepada satu golongan hamba-Nya yang aku dapatkan pada mereka tanda-tanda ketaqwaan, wara' dan pengutamaan kehidupan akhirat atas dunia, seta aku mendapatkan bimbingan dan pesan-pesan mereka yang bersesuaian dengan pendapat para Imam umat..."
[Kitab Al-Wasaya, Imam Al-Muhasibi, m/s 27-32 ]


6) Imam 'Izzudin bin Abdus Salam رضى الله عنه (wafat 660H)

Sultan ulama Syeikh 'Izzuddin bin Abdus Salam رضى الله عنه berkata :
"Orang-orang sufi itu telah membangun landasan di atas kaedah syariah yang tidak menghancurkan dunia dan akhirat. Sedangkan selain mereka berdiri di atas rusum (zahir sahaja). Peristiwa karomah serta khwariqul adat yang terjadi di tangan mereka dapat dijadikan sebagai dalil kebenarannya. Hal itu, bahagian dari kedekatan Allah serta redhaNya kepada mereka."

7) Imam an Nawawi رضى الله عنه (wafat 676H)

Imam an Nawawi رضى الله عنه berkata dalam kitabnya Al-Maqasid :
Prinsip asas Thariqat Tasawwuf itu ada lima :

1. Taqwa kepada Allah di saat sendiri dan bersama orang ramai. Untuk merealisasikan ketaqwaan ini adalah dengan menanamkan sifat wara' dan istiqamah.

2. Mengikuti sunnah dalam perkataan dan perbuatan. Untuk merealisasikannya dengan menjaga (sunnah) dan berakhlaq mulia.

3. Berpaling dari makhluk di saat bersama dan berpisah (maksudnya hatinya hanya bergantung kepada Allah dalam susah dan senang). Untuk merealisasikannya dengan menanamkan sabar dan tawakkal.

4. Redha kepada Allah kepada yang sedikit dan banyak. Untuk merealisasikan redha kepada Allah dengan menanamkan akhlaq qana'ah dan menyerah diri (tafwidh).

5. Kembali kepada Allah dalam susah dan senang. Dan merealisasikannnya dengan memanjatkan puja dan puji dan syukur kepada Allah apabila mengalami kesenangan dan sabar serta mengadu kepada Allah apabila dalam kesulitan.

[ Maqasid al Imam an Nawawi fi at Tauhid wa al Ibadah wa Usul at Tasawwuf m/s 20 ]


No comments:

Post a Comment