Saturday, January 5, 2019

Kebenaran al-Asy`ariyyah Dan Al-Maturidiyyah Disokong Oleh Al-Quran Dan Hadith

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لآئِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ) المائدة :54

Mafhumnya : "Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa yang murtad daripada agamanya (Islam) maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang mana Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui". ( Al-Maidah : 54 ).

Al-Hafiz Ibn `Asakir رحمة الله تعالى di dalam kitabnya (تبيين الكذب المفتري) dan al-Hakim رحمة الله تعالى dalam al-Mustadrak meriwayatkan bahawasanya tatkala turun ayat ini, Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengisyaratkan kepada Abu Musa Al-Asy`ari رضى الله عنه dengan bersabda :

هم قوم هذا

Mafhumnya : "Mereka (yang dimaksudkan di dalam ayat tadi ) adalah kaum ini". Berkata Imam al-Qusyairi رحمة الله تعالى :

"Pengikut Abu al-Hasan al-Asy`ari رحمة الله تعالى adalah termasuk kaumnya kerana setiap tempat yang disandarkan perkataan kaum oleh Nabi صلى الله عليه وسلم ia membawa maksud pengikut. Perkara ini disebut oleh Imam al-Qurtubiy رحمة الله تعالى di dalam kitab tafsirnya (rujuk kitab tersebut jilid 6 halaman 220).

Berkata al-Hafiz al-Baihaqi رحمة الله تعالى :

"Perkara ini adalah kerana wujudnya kelebihan yang mulia dan martabat yang tinggi bagi Imam Abu al-Hasan al-Asy`ari semoga Allah meredhainya. Dia adalah daripada kaum Abu Musa dan anak-anaknya dianugerahkan ilmu pengetahuan, diberikan kefahaman secara khusus di kalangan mereka dengan menguatkan sunnah, membasmi bid`ah dengan mengeluarkan hujah dan membantah penyelewengan. Perkara ini disebut oleh al-Hafiz Ibn `Asakir رحمة الله تعالى di dalam kitab (تبيين الكذب المفتري).

Imam Bukhari رضى الله عنه, seorang yang berstatus Amir al-Mukminin dalam bidang Hadith menyebutkan di dalam sahihnya pada bab ((باب قدوم الأشعريين وأهل اليمن)). Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda kepada Abu Musa رضى الله عنه :

هم مني وأنا منهم


Mafhumnya : "Mereka sebahagian daripadaku, aku pula sebahagian daripada mereka".

Sultan yang tersohor, Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi رحمة الله تعالى berakidah mengikut jalanan Imam Abu Al-Hasan Al-Asy`ari رحمة الله تعالى. Pada zamannya seorang 'alim bernama Al-Faqih Muhammad Ibn Hibatillah Al-Makki رحمة الله تعالى mengarang sebuah risalah yang berjudul "حدائق الفصول وجواهر الأصول" yang kemudian terkenal dengan nama "قصيدة atau عقيدة ابن المكي". Seterusnya beliau menghadiahkannya pada Sultan Yusuf Shalahuddin semoga Allah merahmatinya.

Sultan menerima baik kitab tersebut dan mengeluarkan titah perintah agar kitab tersebut diajarkan kepada semua lapisan masyarakat sehingga kepada anak-anak di sekolah-sekolah. Oleh kerana sikap titik beratnya kepada penyebaran ilmu akidah di dalam kitab ini, akhirnya akidah tersebut tersebar dan terkenal dengan nama lain iaitu al-'Aqidah as-Shalahiyah.

Sultan Shalahuddin adalah seorang yang 'alim ahli feqah yang bermazhab Syafi'iyah, beliau memiliki pengetahuan yang luas dalam ilmu hadith dan beliau juga menghadiri majlis-majlis para ulama hadith serta beliau juga meriwayatkan hadith daripada mereka. Selain itu beliau juga menghafal kitab at-Tanbih, sebuah kitab yang membicarakan ilmu feqah dalam Mazhab Syafi'i.

Kita alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana sejak turun-temurun kita sudah berpegang dengan akidah ini, akidah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, akidah para sahabat, para tabi`en. Rasullulah صلى الله عليه وسلم pernah memuji akidah ini serta orang yang berpegang teguh dengannya sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad رحمة الله تعالى di dalam musnadnya dan juga al-Hakim رحمة الله تعالى dalam kitab Mustadraknya dengan sanadnya yang sahih :

لتفتحنّ القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش


Mafhumnya : "Kota Konstantinopel itu benar-benar akan dibuka yang mana sehebat-hebat pemimpin adalah pemimpin yang membuka kota tersebut dan sehebat-hebat tentera adalah tenteranya itu." Kota bersejarah tersebut telah dibuka oleh seorang pemimpin terkenal selepas 800 tahun lamanya. Namanya adalah Sultan Muhammad Al-Fatih. Di dalam akidah, beliau adalah sunni mengikut landasan imam agung Abu Manshur Al-Maturidy رحمة الله تعالى. Beliau amat mencintai golongan sufi sejati dan bertawassul dengan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.


Komen ulamak tentang akidah al-Asya`irah dan Al-Maturidiyyah

Ketahuilah bahawa Imam Asy`ari رحمة الله تعالى tidak membawa pandangan baru yang berbeza dengan akidah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan sahabat Baginda, ini telah dijelaskan oleh Imam Al-Hafiz Tajuddin As-Subki رحمة الله تعالى dalam kitab Thabaqotnya yang bermaksud :

"Ketahuilah bahawa Imam Abu Hasan Al-Asy'ari رحمة الله تعالى tidak mendatangkan pandangan yang baru (yang bercanggah dengan Islam) dan tidak pula beliau membuat mazhab yang baru (yang bercanggah dengan Islam) akan tetapi beliau datang mempersetujui atau memperakui mazhab salaf (sebenar yang bukan wahhabi), yang selari dengan akidah para sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Disandarkan akidah tersebut kepada nama beliau kerana beliau telah mendatangkan penyusunan hujah yang cukup hebat bagi mempertahankan akidah yang sebenar."

Sheikh `Izzuddin bin Abdus Salam رحمة الله تعالى berkata dalam karangan akidah beliau :

"Dan akidah Asy`ari semoga Allah meredhainya merangkumi apa yang ditunjukkan ke atas 99 nama-nama Allah".

Manakala menurut Ketua para Qadhi Tajuddin As-Subki رحمة الله تعالى :

"Dan golongan Hanafiyyah, As-Syafi`iyyah, Al-Malikiyyah dan ulama tersohor daripada Hanabilah kesemuanya dalam hal akidah seolah-olah berpegang dengan pandangan Ahlus-Sunnah Wal Jamaaah iaitu cara yang dipilih oleh As-Sheikh as-Sunnah al-Imam Abu Hasan Al-Asy`ary رحمة الله تعالى". Kata beliau lagi : "Dan secara umumnya akidah Asy`ari ini merupakan juga apa yang telah disampaikan oleh Imam Abu Ja`far At-Thahawi رحمة الله تعالى (as-Salafi) yang mana seluruh para ulama telah menerimanya."

Memadailah nukilan seorang ulama yang terkenal menunjukkan bahawa pendukung Ahlus Sunnah wa al-Jamaah adalah yang sealiran dengan Imam Abu Hasan Al-Asy`ary رحمة الله تعالى dan Imam Abu Mansur Al-Maturidy رحمة الله تعالى iaitu, As-Sheikh Muhammad Amin رحمة الله تعالى yang terkenal dengan gelaran Ibnu Abidin di dalam kitab terkenal beliau yang berjudul Rad Al-Muhtar `Ala Ad-Duraril Mukhtar :

أهل السنة والجماعة هم الاشاعرة والماتريدية

Maknanya : "Ahlus-Sunnah Wa al-Jamaah adalah Asy`ariyyah (pengikut Imam Abu al-Hasan Al-Asy`ari رحمة الله تعالى) dan Al-Maturidiyyah (pengikut Imam Abu Mansur Al-Maturidi رحمة الله تعالى)". Perkara yang sama juga disebut oleh al-Hafiz Murtadha az-Zabidi رحمة الله تعالى di dalam kitab Ithaf as-Sadah al-Muttaqin.


No comments:

Post a Comment