Saturday, January 5, 2019

SIFAT 'UJUB

'Ujub adalah merasa kagum dengan diri sendiri samada mengenai peribadinya, ilmunya atau amal ibadahnya.

Perasaan 'ujub yang diikuti akan membawa seseorang kepada takabbur dan kesombongan.

قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُ ۥ عَلَىٰ عِلۡمٍ عِندِىٓ‌ۚ أَوَلَمۡ يَعۡلَمۡ أَنَّ ٱللَّهَ قَدۡ أَهۡلَكَ مِن قَبۡلِهِۦ مِنَ ٱلۡقُرُونِ مَنۡ هُوَ أَشَدُّ مِنۡهُ قُوَّةً۬ وَأَڪۡثَرُ جَمۡعً۬ا‌ۚ

“Qarun berkata : “Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.” Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta?” (QS. Al-Qashshash [28]: 78)

Ia perbuatan yang dicela syarak yang boleh membinasakan pahala ibadah dan kebajikan seseorang.

“Ada tiga perkara yang dapat membinasakan manusia (hamba), iaitu ; sikap bakhil yang dipatuhi, hawa nafsu yang diikuti, dan kekaguman seseorang kepada diri sendiri.” (HR. Thabrani).

Ibnu Mas'ud 
رضى الله عنه berkata ; "Kebinasaan itu terdapat pada dua perkara, iaitu putus asa dengan rahmat Allah dan seseorang yang kagum pada dirinya sendiri."

Kebinasaan ini kerana orang yang 'ujub tidak lagi mencari kebaikan sebab menyangka mereka sudah mempunyai semuanya.

Sayyidatina Aisyah 
رضي الله عنها ditanya ; "Bilakah masanya seseorang itu mengerjakan kejahatan?" Maka beliau menjawab ; "Apabila dia menyangka bahawa dirinya berbuat kebaikan."

Ketahuilah, punca sifat 'ujub itu adalah jahil dan penawarnya adalah ilmu.

Seseorang itu tidak patut merasa 'ujub terhadap dirinya sendiri kerana terjadinya semua perkara tersebut bukanlah semata-mata kerana usahanya tetapi Allah yang mengurniakan segala nikmat itu pada dirinya.

Andai 'ujubnya kerana kecantikan, ingatlah bahawa tidak ada sedikit pun usahanya adanya kecantikan itu wujud pada asal wajahnya dan boleh hilang kecantikannya kerana penyakit.

Andai 'ujubnya atas ilmu dan amal maka perlu dia fikirkan apakah sebab yang memudahkan dirinya untuk menuntut ilmu dan beramal ibadah? Bukankah kerana anggota dan akal. Dan ingatlah bahawa anggota dan akal itu makhluk ciptaan Allah yang dikurniakan kepadanya.

Allah berfirman ;

وَاللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ

"Padahal Allah-lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu." (Surah As Saffat ayat 96)

Allah menegaskan lagi,

وَمَا تَشَاءُونَ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا


"Dan kamu tidak mampu (menempuh jalan itu), kecuali bila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Al-Insan ayat 30)

Maka orang yang berakal tidak patut berasa ujub dengan limpah kurnia yang Allah kurniakan kepadanya. Dan juga sepatutnya merasa takut Allah mencabut atau menarik balik nikmat tersebut daripadanya. Kemungkinan juga kurniaan itu merupakan istidraj untuk dirinya.

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ

"Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka ; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa." (Surah al-an'am ayat 44)

Semoga Allah jauhkan diri kita dari sifat yang keji ini. 

Aamiin Ya Robbal 'Alaamiin...

[ Kitab Penawar Bagi Hati ]



No comments:

Post a Comment