Wednesday, July 24, 2019

Kontroversi Wahdat al-Wujud

WAHDAT al-WUJUD yang menjadi perdebatan akibat pertembungan pemahaman ulama ahlillah atau sufi dengan golongan yang tidak sealiran dalam tradisi ilmu Islam, turut menimbulkan kontroversi tajam dalam sejarah Islamisasi di alam Melayu.

Ahli sufi cenderung menggunakan ungkapan majaz atau kiasan untuk mengungkapkan hakikat ilmu yang diperoleh tetapi tidak difahami sesetengah ulama yang mendakwa hal itu boleh menimbulkan salah faham awam.

Selain kemunculan ulama seperti Syeikh Ahmad al-Faruqi al-Sirhindi dan Syeikh Shah Waliyullah al-Dahlawi yang mendamaikan pertentangan itu, alam Melayu sendiri melahirkan tokoh penting yang berjaya mengharmonikannya.

Hal itu dihuraikan pada Wacana Siri 2/2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa Manuskrip Ahlillah di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Pensyarah Pusat Penataran Ilmu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Abdul Manam Mohamad, berkata konsep Wahdat al-Wujud di sisi ulama ahlillah ialah keesaan wujud Tuhan, iaitu kewujudan Allah saja yang hakiki, sedangkan apabila dinisbahkan kepada makhluk, ia hanya bersifat majazi.

Memetik pandangan Syeikh Sayyid Mustafa Kamal al-Sharif, Abdul Manam berkata, ulama itu menjelaskan wujud Allah yang Maha Esa, manakala wujud makhluk bersifat 'mumkin', berbilang-bilang dan akan binasa sehingga ia tidak dianggap sebagai kewujudan yang hakiki.

"Syeikh Abd al-Qadir Isa pula menyatakan Wahdat al-Wujud merujuk kepada kewujudan tunggal yang bersifat qadim, manakala kewujudan makhluk bersifat majaz yang berasal daripada tiada.

"Justeru, konsep ini bukan bermakna kesatuan segala yang wujud, iaitu kewujudan Tuhan dan makhluk sebagai sesuatu yang sama seperti penyelewengan fahaman ittihad," katanya ketika membentangkan makalah Wahdat al-Wujud dalam Perdebatan Ulama Melayu.



Fatwa kafir, mufti dibunuh


Abdul Manam berkata, Islamisasi di alam Melayu sekitar abad ke-8 dan 9 Masihi (M) menyaksikan perubahan agama asal peribumi kepada Islam dan Syeikh Abdullah Arif melalui karyanya, Bahr al-Lahut pada abad ke-12, cuba membezakan faham kewujudan dalam akidah tauhid Islam dengan animisme dan Hindu-Buddha.

"Sistem tauhid ini menjadi dasar pegangan pendakwah dari zawiyah (institusi pendidikan Islam) seperti Cot Kala dan Kerajaan Islam Peurlak, sekali gus mengubah kepercayaan asal masyarakat kepada akidah tauhid Islam.

"Timbul juga perbezaan dalam wacana tauhid wujudiah seperti pertembungan Syeikh Nuruddin al-Raniri dengan pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Shamsuddin al-Sumatra'i semasa pemerintahan Kerajaan Aceh Darussalam, abad ke-17 M," katanya pada wacana yang dipengerusikan oleh Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (PPMAM), Prof Madya Dr Mohd Syukri Yeoh Abdullah.

Beliau berkata, dengan menggunakan definisi Ibn Taimiyah yang menyamakan konsep itu dengan ittihad, al-Raniri mengeluarkan fatwa kafir sehingga mufti ketika itu, Syeikh Jamaluddin Maidin bersama murid-muridnya dihukum pancung di hadapan Masjid Bait al-Rahman, Banda Aceh.



Kalah debat, jasa Syeikh Abdul Rauf 
al-Singkel


"Sultanah Safiatuddin yang mengambil alih kerajaan selepas kemangkatan suaminya, Sultan Iskandar, bertindak menganjurkan perdebatan di antara al-Raniri yang menjadi mufti ketika itu dengan Saiful Rijal al-Minangkabaui.

"Kekalahan al-Raniri dalam debat menyebabkan beliau pulang ke India dan konflik akidah itu kemudiannya diredakan oleh Syeikh Abdul Rauf al-Singkel sepanjang empat era pemerintahan Sultanah Aceh," katanya pada acara anjuran PPMAM, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM itu.

Abdul Manam berkata, ulama ahlillah Melayu kemudian menjelaskan pemahaman akidah tauhid wujudiah melalui penulisan seperti yang dibuat oleh Syeikh Abdul Pamijahan, Tok Pulau Manis, Syeikh Abdul Samad al-Palimbani, Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Nafis al-Banjari dan Ngabehi Ronggowarsito.

"Antara karya yang memuatkan pemikiran akidah tauhid Wahdat al-Wujud ialah Tuhfah al-Mursalah, al-Manhal al-Safi, Shams al-Ma'rifah, Tanbih al-Masyi, al-Durr al-Nafis, Fath al-Rahman, al-Hikam Kanz al-Minan dan Siyar al-Salikin," katanya pada acara yang turut dihadiri Anggota Jilsah al-Turuq al-Sufiyah Negeri Sembilan, Dr Jahid Sidek.



Kajian orientalis, sarjana Islam keliru


Bagaimanapun, kata Abdul Manam, salah faham berlaku lagi apabila kiblat kehidupan masyarakat dialih dari Islam ke Barat, iaitu sekularisme, selain campur tangan autoriti pelbagai disiplin ilmu terutama tarikat rohani oleh orientalis.

"Kekeliruan dan kekacauan dalam kefahaman umat Islam terhadap makna Wahdat al-Wujud serta tauhid wujudiyah ini berlaku antara lain disebabkan kajian sarjana seperti Edward J Jurji, Gerhard Endress, GE Von Grunebaum, AJ Arberry, Louis Massignon dan RC Zaehner.

"Mereka menggunakan istilah seperti panteisme, monisme dan monisme panteisme yang sama sekali berbeza dengan makna yang difahami ulama ahlillah termasuk di alam Melayu," katanya pada acara yang mendapat kerjasama Pusat Islam UKM dan IKIM FM.

Penggunaan istilah itu mencetuskan kekeliruan besar apabila sarjana Islam menggunakannya seperti Fazlur Rahman, SAQ Husaini, Hamka, Ahmad Daudy, Endang Saifullah Anshari, Yusnaril Ali, Muhammad Asraf, Suad al-Hakim dan Abu Ameenah Bilal Phillips.

Abdul Manam turut menyorot kebijaksanaan Tokku Paloh yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Terengganu pada zaman pemerintahan Sultan Omar (1839-1876) dan penasihat Sultan Zainal Abidin III dalam membincangkan persoalan Wahdat al-Wujud seperti dibahaskan dalam kitabnya, Ma'rij al-Lahfan.



Tokku Paloh selaraskan pandangan ulama

"Tokku Paloh dilihat memadu dan menyelaraskan pandangan ulama usuluddin dengan tarikat. Daripada perspektif usuluddin, Wahdat al-Wujud ialah Tauhid az-Zat, iaitu seseorang meyakini kewujudan yang sebenar hanyalah satu, iaitu Allah, manakala adanya makhluk pula tidak hakiki kerana bertaraf majaz.

"Wahdat al-Wujud ialah kemuncak Tauhid az-Zat dan ia menjadi pengalaman kerohanian yang dialami oleh ahlillah yang keyakinan menguasai hati sehingga mereka melihat kenyataan sebenar, iaitu kewujudan hakiki semata-mata wujud Allah dan lupa kepada kewujudan makhluk.

"Oleh itu, kedua-duanya sama dari sudut ia memfokuskan perkara yang satu, iaitu keesaan kewujudan Allah, manakala perbezaan ialah Wahdat al-Wujud membabitkan pandangan mata hati dan perasaan sedangkan Tauhid az-Zat tentang pandangan akal dan keyakinan," katanya.

Justeru, konsep Wahdat al-Wujud perlu dibincangkan secara ilmiah tanpa terperangkap dalam sempadan pengkhususan ilmu dan berpandukan penjelasan ulama ahlillah termasuk dari alam Melayu sendiri, sekali gus membezakannya dengan tafsiran salah oleh orientalis serta aliran sesat seperti Batiniah.



No comments:

Post a Comment