Wednesday, July 24, 2019

Tarekat Rohani di Alam Melayu

TAREKAT yang bermaksud jalan adalah keadaan yang tidak dapat dipisahkan dengan manusia kerana ia menjadi landasan untuk menjalani kehidupan sehingga sampai waktu tertentu bagi kita bertemu dengan Allah سبحانه وتعالی di negeri abadi.

Orang beriman akan melalui jalan yang lurus menuju kepada-Nya seperti mana firman Allah 
سبحانه وتعالی yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan jangan kamu menurut jalan lain kerana jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya, yang demikian itu diperintahkan Allah supaya kamu bertakwa." (Surah al-An'am, ayat 153)

Tarekat rohani antara jalan atau disiplin ilmu tersebar di alam Melayu dihasilkan melalui penulisan ulama alam Melayu seperti Syeikh Abdul Rauf Al-Singkili menerusi manuskrip seperti Bayan Shurut al-Shaykh wa al-Murid yang masih tersimpan kemas sebagai koleksi Perpustakaan Negara Malaysia).

Kitab itu masih dalam bentuk manuskrip tulisan tangan menggunakan khat nasakh, setebal 41 halaman yang menggabungkan bahasa Arab sebagai teks utama dan bahasa Melayu sebagai terjemahan serta huraiannya.

Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Md Zuraini Mashrom berkata, alam Melayu menerima tarekat rohani sebagai suatu jalan tarbiah selari kemasukan masyarakatnya ke dalam Islam.

"Ia berkembang dalam dunia Islam bersanadkan ilmu dan amalan Rasulullah ﷺ, sahabat, tabiin serta ulama selepasnya. Malah tarekat rohani sebagai suatu pendekatan penyebaran ilmu berjaya menjadi faktor utama penyebaran Islam di alam Melayu."



Tiga Rukun Tarekat


Beliau berkongsi maklumat itu dalam huraian Manhaj Tarekat Rohani alam Melayu pada Wacana Siri 1/2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa Manuskrip Ahlillah yang diadakan di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Katanya, disiplin ilmu tarekat rohani terutama menerusi penulisan dan pengajian oleh ulama tersohor menjadi amalan masyarakat alam Melayu. Bagaimanapun, disiplin itu masih belum tersebar luas mengakibatkan berlaku fitnah sehingga ada mendakwa ia sebagai sesat atau terpesong daripada ajaran Islam.

Selain Syeikh Abdul Rauf Al-Singkili, ulama tarekat rohani yang turut memberikan sumbangan besar melalui khazanah penulisan berharga termasuk Syeikh al- Ashmuni dalam kitabnya al-Khulasah al-Mardhiyah Min al-Durar al-Mudhi'ah FI Macrifat Suluk Tariq al-Sufiyyah dan al- Syeikh Ibn Arabi dalam kitab al-Amr al-Muhkam.

Mengupas lanjut mengenai tarekat rohani, menurut Md Zuraini, ada tiga rukun utama perlu dikuasai iaitu syeikh, salik (pejalan) dan manhaj yang mengandungi disiplin tersendiri merangkumi syarat, adab atau tatacara yang menjadi pengukur terhadap kesahihan amalan tarekat rohani.

Rukun pertama dalam tarekat rohani iaitu syeikh ditakrifkan sebagai seseorang yang mencapai kedudukan sempurna dalam ilmu syariat, tarekat, hakikat, makrifat dan pengetahuan mendalam mengenai penyakit rohani.

"Syeikh Abdul Rauf al-Singkili meletakkan peranan syeikh sebagai pewaris nabi yang dipilih Allah 
سبحانه وتعالی bagi menyambung legasi nubuwwah. Syeikh juga perlu memperoleh pengiktirafan sebagai Syeikh Mursyid untuk memelihara kesucian institusi tarekat rohani," katanya.



Ikut Bimbingan Syeikh

Rukun kedua ialah murid atau orang yang benar permulaan jalannya dan tergolong dalam kalangan orang yang menetapkan diri pada jalan Allah 
سبحانه وتعالی. Setiap murid wajib mempunyai syeikh yang dapat membawanya bersama ke jalan rohani.

Mereka juga perlu menyerah diri atau dalam erti kata lain, taat kepada syeikh dalam semua perkara yang diperintah serta dilarang kerana kedudukannya diiktiraf selaku pewaris nabi yang dikurnia kelebihan ilmu alat dalam membimbing murid menuju kepada-Nya.

Rukun ketiga dalam tarekat rohani adalah manhaj iaitu sistem atau kurikulum yang menjadi rujukan asas bagi pembelajaran. Manhaj perjalanan rohani bersumberkan teks wahyu dengan menggunakan pendekatan sunni dan ijtihadi sesuai realiti zaman dan keadaan murid.

"Kepelbagaian penyakit rohani mereka yang ingin mendalami ilmu tarekat dan perbezaan realiti zaman memerlukan sheikh berijtihad untuk menentukan pendekatan bersesuaian bagi mengubati penyakit berkenaan.

"Syeikh Murshid berkelayakan untuk berijtihad lantaran penguasaan ilmu alat dan ilmu tariq yang dianugerahkan kepadanya. Ini juga menjadi faktor perbezaan dalam peraturan amalan dan zikir antara satu tarekat dengan tarekat lain mengikut syeikh masing-masing," katanya.



No comments:

Post a Comment