Wednesday, April 11, 2018

SUHBAH AL-SYEIKH DALAM ILMU THARIQAT

Suhbah bermakna persahabatan. Maksudnya ialah hubungan para sahabat dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang sangat erat dan rapat di mana Rasullullah صلى الله عليه وسلم sebagai pemimpin atau guru dan para sahabat sebagai murid. Jadi suhbah bukanlah persahabatan biasa seperti yang difahami oleh sebahagian kita. Menerusi suhbah sepanjang hayat Rasulullah صلى الله عليه وسلم itulah para sahabat dapat limpahan secara langsung Nur Nubuwwah yang sebaik-baiknya dan menjadikan para sahabat manusia yang hampir kepada Allah dan dikasihi oleh Allah. Gelaran sahabat kepada orang-orang Islam yang hidup di zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم mempunyai tujuan bahawa mereka mendapat limpahan nur nubuwwah yang tersebut. Banyak atau sedikitnya limpahan nur nubuwwah kepada mereka sangat bergantung kepada kerapatan dan keeratan hubungan mereka dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم atau pun sebaliknya.

Dengan kaedah dan tujuan yang sama suhbah digunapakai dalam hubungan para murid dengan syeikh mursyid mereka. Para murid mestilah sentiasa bersama syeikhnya sepanjang hayatnya. Murid yang sentiasa bersama syeikhnya lebih berjaya dalam perjalanan mujahadahnya jika dibandingkan dengan murid yang kurang memenuhi tuntutan suhbah. Kita dapati ramai mereka yang belajar tasawwuf dan thariqat tidak memahami konsep suhbah tersebut. Oleh sebab itu, ramai di antara mereka sesudah menerima bai’ah dan talqin daripada syeikh mursyidnya, mereka jarang mendampingi syeikh. Akibatnya himmah mereka jadi lemah, banyak masalah yang dihadapi terutamanya yang berkaitan dengan masalah agama tidak dapat diselesaikan. Begitu juga pelbagai masalah kehidupan seharian semakin bertambah rumit yang menyebabkan mereka tertekan. Padahal sepatutnya mereka mendampingi syeikh dengan harapan menerusi nasihat dan bimbingan syeikh, Allah akan limpahkan hidayat.

Ada beberapa ayat yang memerintahkan supaya para murid sentiasa berserta dengan syeikh mereka. Antaranya ialah firman Allah Ta'ala :

Maksudnya : “Wahai orang-orang beriman hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah hendaklah kamu bersama-sama golongan sadiqin.” (Surah al-Tawbah : Ayat 119)

Dari ayat tersebut dapat kita fahamkan bahawa kejayaan ketaqwaan seseorang akan banyak bergantung kepada usaha orang tersebut mendampingi secara bersungguh-sungguh golongan al-Sadiqin. Allah juga berfirman :

Maksudnya : “Hendaklah kamu ikut jalan orang yang benar-benar kembali kepadaKu (Allah).” (Surah Luqman : ayat 15)

Nabi Allah Musa عليه سلم seperti yang diceritakan oleh Allah dalam al-Quran ingin bersama dengan Nabi Allah Khidir عليه سلم untuk belajar dan menerapkan apa yang dipelajari. Terdapat juga beberapa hadith yang jelas menunjukkan pentingnya suhbah. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas رضي الله عه yang bermaksud :
“Para sahabat bertanya ya Rasulullah صلى الله عليه وسلم siapakah orang yang sebaik-baiknya untuk kami damping selalu untuk kami belajar. Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab : “Orang yang sebaik-baiknya ialah orang yang bila kamu lihat rupanya mengingatkan kamu kepada Allah, orang yang kata-katanya menambahkan ilmu kamu, apabila kamu lihat perbuatannya mengingatkan kamu kepada akhirat.”
Syeikh Ibrahim Baijuri رحمة الله تعالى menegaskan tentang pentingnya suhbah yang bermaksud :
“Apabila mujahadah yang dilakukan oleh seorang dengan pimpinan seorang syeikh yang arif lebih baik, sebab ramai ulama’ mengatakan hal keadaan seorang di dalam seribu orang lebih memberi manfaat daripada nasihat yang diberikan oleh seribu orang yang ditujukan hanya kepada seorang. Maka adalah wajar bagi seorang murid sentiasa bersama syeikhnya yang arif yang berpegang kepada Quran dan sunnah.”

Oleh : Tuan Guru Dr. Hj. Jahid Hj. Sidek Al-Khalidi


No comments:

Post a Comment