Monday, April 16, 2018

NIKMAT DAN MUSIBAH

"Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang paling aku bimbangkan menimpa kamu semua, akan tetapi yang aku bimbangkan adalah dihamparkan kepada kamu semua kekayaan dunia, sebagaimana telah dihamparkan kepada umat sebelum kamu semua, lalu kamu semua berlumba-lumba mendapatkannya sebagaimana mereka berlumba-lumba mendapatkannya sehingga kamu semua binasa sebagaimana mereka binasa." (HR Al Bukhari dan Muslim)

"Alangkah silap fahamannya jika dalam fikiran kita masih memahami segala kemudahan dunia adalah nikmat dan segala musibah dunia adalah azab. Padahal belum tentu sedemikian. Belum tentu kemudahan dan kesenangan dunia adalah bentuk cinta daripada Allah 
سبحانه وتعالی. Belum tentu kesukaran dunia adalah bentuk murka daripada-Nya.

Ada suatu kisah menarik. Pada suatu hari, seorang lelaki bertanya kepada Imam Hasan Al-Basri 
رحمة الله تعالى, "Sesungguhnya aku melakukan banyak dosa. Tetapi ternyata tetap murah rezekiku. Bahkan lebih banyak daripada sebelumnya."

Sang Imam lantas bertanya, "Adakah semalam kamu melaksanakan qiyamullail?"

Lelaki itu menjawab, "Tidak."

Dengan kalimat bijak, Imam Hasan Al-Basri 
رحمة الله تعالى menasihatkan kepada lelaki tersebut, "Sesungguhnya jika Allah سبحانه وتعالی terus menghukum semua makhluk yang berdosa dengan memutuskan rezekinya, maka semua manusia di bumi ini sudah habis binasa. Sesungguhnya dunia ini tidak bernilai di sisi Allah سبحانه وتعالی walau sehelai sayap nyamuk pun, maka Allah سبحانه وتعالی tetap memberi rezeki bahkan kepada orang yang kufur sekalipun kepada-Nya. Adapun kita orang mukmin, hukuman bagi melakukan dosa adalah terputusnya kemesraan dengan Allah سبحانه وتعالی.

Sedarlah kita, bahawa musibah yang sebenarnya adalah ketika kita memperolehi kesenangan dunia tetapi kerana kesenangan itu kita lantas menjadi jauh daripada Allah 
سبحانه وتعالی. Musibah yang sejati adalah segala sesuatu yang menjauhkan kita daripada-Nya. Sementara kurnia yang sejati adalah segala sesuatu yang menjadikan kita dekat kepada-Nya.

Boleh jadi yang selama ini kita anggap sebagai musibah, ternyata itu adalah bentuk cinta daripada-Nya. Kadangkala ada orang tertentu yang baru mahu mendekatkan diri kepada-Nya ketika dia berada dalam hidup yang sukar. Ketika Allah 
سبحانه وتعالی rindukan tangisannya di dalam keheningan malam, ketika Allah سبحانه وتعالی rindukan keluhan mesra di dalam rangkaian doanya, ketika Allah سبحانه وتعالی rindukan rasa khusyuknya dalam solatnya, maka segera dikurniakan kesukaran hidup kepadanya."


No comments:

Post a Comment