Thursday, April 12, 2018

RUKUN AGAMA : Islam, Iman, Ihsan

Kebelakangan ini telah wujud kekeliruan di dalam masyarakat berkaitan rukun agama. Islam sebagai agama yang syumul telah sedia ada jawapan dan penerangan tentang kesyumulan kaedah beragama. Penerangan ini dapat diambil dengan apa yang mahsyur dipanggil sebagai Hadis Jibril عليه سلم.

Dari Sayyidina Umar bin Al-Khatthab رضي الله عه berkata : “Suatu ketika, kami (para sahabat) duduk di sisi Rasululah صلى الله عليه وسلم . Tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki mengenakan pakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam. Tidak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan, dan tidak ada seorang pun di antara kami yang mengenalnya. Ia segera duduk di hadapan Nabi صلى الله عليه وسلم, lalu lututnya disandarkan kepada lutut Nabi صلى الله عليه وسلم dan meletakkan kedua tangannya di atas kedua paha Nabi صلى الله عليه وسلم, kemudian ia berkata :

“Hai, Muhammad! Beritahukan kepadaku tentang Islam.”


Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab, “Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan engkau menunaikan haji ke Baitullah, jika engkau telah mampu melakukannya.” Ia berkata,”Engkau benar!” Maka kami hairan, ia yang bertanya dan ia pula yang membenarkannya.

Kemudian ia bertanya lagi : “Beritahukan kepadaku tentang Iman.”

Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab, “Iman adalah engkau beriman kepada Allah, malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari kemudian, dan engkau beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk.” Ia berkata : “Engkau benar!”

Dia bertanya lagi : “Beritahukan kepadaku tentang ihsan.”

Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab : “Hendaklah engkau beribadah kepada Allah سبحانه وتعالی seakan-akan engkau melihatNya. Kalaupun engkau tidak melihatNya, sesungguhnya Dia melihat engkau.”

Lelaki itu berkata lagi : “Beritahukan kepadaku tentang Kiamat?”

Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab : “Tidaklah orang yang ditanya tentangnya lebih tahu dari orang yang bertanya.”

“Kalau begitu khabarkan kepadaku tentang tanda-tandanya.”


Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab : “Tanda-tandanya itu ialah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya; jika engkau melihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan.”

Kemudian ia pun pergi, lalu aku pun terdiam beberapa lama. Setelah itu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bertanya : “Wahai, Umar! Tahukah engkau, siapa yang bertanya tadi?”

Kataku : “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata :

“Sesungguhnya dia adalah Jibril yang mengajarkan kalian tentang agama kalian.” 
(HR Muslim, no.8). [1]


Menerusi hadis kedua daripada “Hadith 40’’ karangan Imam Nawawi رحمة الله تعالى ini jelaslah bahawa tiga rukun penting yang diterapkan dalam rukun agama.

Pertama, berkenaan Islam di mana ketika Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم ditanya oleh Jibril عليه سلم. Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم telah menghuraikan lima rukun Islam iaitu mengucapkan dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji di Baitullah sekiranya mampu. Maka, ia dipanggil sebagai Rukun Islam.

Kedua, Jibril عليه سلم telah bertanyakan berkenaan Iman. Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم telah menghuraikan makna iman dengan enam rukunnya iaitu, Beriman kepada Allah, para MalaikatNya, KitabNya, para RasulNya, hari Kiamat dan Qada’ Qadar. Maka, ia dipanggil sebagai Rukun Iman.

Selanjutnya Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم ditanya perihal Ihsan, maka Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم menerangkan bahawa ihsan itu ialah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, tetapi jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya Ia melihat engkau. Maka, ia dipanggil sebagai Rukun Ihsan.

Melalui tiga pertanyaan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa 3 rukun penting yang ada iaitu Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Ihsan. Rukun Islam adalah berkaitan dengan hal-hal praktikal melaksanakan perintah-perintah agama. Ia bersangkut paut dengan kaedah ibadah, muamalah, munakahah, jenayah dan seterusnya sekali gus membezakan antara muslim dan kafir seperti solat, puasa, zakat, dan haji. Muslim yang sebenar sentiasa berusaha melaksanakan segala perintah dan laranganNya. Maka, ilmu pada rukun ini adalah Feqah.

Seterusnya Rukun Iman adalah berkaitan dengan hal-hal ketauhidan. Di dalam rukun ini menerapkan soal kepercayaan yang wajib kita Imani. Ia bermula daripada Kepercayaan kepada Allah, para MalaikatNya, KitabNya, RasulNya, Hari Kiamat dan Qada’ Qadar. Dengan rasa percaya dan yakin, maka lahirlah sifat taat kepada segala perintah dan laranganNya. Maka, ilmu pada rukun ini adalah Tauhid.

Selanjutnya adalah berkaitan Rukun Ihsan. Rukun ini menerangkan perihal muraqabatullah iaitu kebersamaan kita dengan Allah سبحانه وتعالی. Bilamana seorang hamba yang melakukan solat, maka perasaan yang hadir akan menjadikan solat yang didirikan benar-benar ikhlas dan hanya kerana Allah سبحانه وتعالی semata-mata. Begitulah yang ingin diterapkan di dalam rukun ihsan iaitu engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya (muraqabah), tetapi jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya Dia melihat engkau (musyahadah). Maka, ilmu pada rukun ini adalah Tasawwuf.

Adapun kesinambungan yang dapat diambil daripada pertanyaan Jibril عليه سلم kepada Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah rukun agama yang terbahagi kepada Rukun Islam (feqah), Rukun Iman (tauhid) dan Rukun Ihsan (tasawwuf). Islam merangkumi ilmu feqah dan perlaksanaannya dengan mengambil keberkatan imam empat mazhab iaitu Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Setiap mazhab dipelopori oleh setiap imamnya dan ijtihad mereka dalam setiap perlaksanaan hukum. Sebagai contoh perbezaaan pandangan dalam hal-hal yang membatalkan wudhuk, kadar pemberian zakat kepada asnaf zakat, penentuan awal puasa dan sebagainya.

Iman merangkumi ilmu tauhid dan terpecah kepada beberapa aliran antaranya mazhab Asy’ariyah dan Maturidiyah. Pendiri aliran Asy’ariyah adalah Imam Abdul Hasan Ali bin Ismail Al-Asy’ary رحمة الله تعالى. Imam Al Asy’ary رحمة الله تعالى lahir tahun 260H / 873M dan wafat tahun 324H / 935M. Aliran ini mengakui adanya sifat-sifat Tuhan, yang mana sifat-sifat tersebut sesuai dengan Zat Tuhan sendiri dan sama sekali tidak menyerupai sifat-sifat makhluk. Manakala, aliran Maturidiyah masih tergolong Ahli Sunnah seperti halnya aliran Asy’ariyah. Pendirinya adalah Imam Muhammad bin Muhammad Abu Mansur رحمة الله تعالى. Ia dilahirkan di Maturid, daerah kecil di Samarkand kurang lebih pada pertengahan abad ketiga Hijrah dan meninggal di Samarkand juga pada tahun 332H. Menurut Imam Al-Maturidi رحمة الله تعالى, mengetahui Tuhan dan kewajiban mengetahui Tuhan dapat diketahui dengan akal. Kemampuan akal dalam mengetahui dua hal tersebut sesuai dengan ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan agar manusia menggunakan akal dalam usaha memperoleh pengetahuan dan keimanannya terhadap Allah سبحانه وتعالی melalui pengamatan dan pemikiran yang mendalam tentang makhluk ciptaannya. Kalau akal tidak mempunyai kemampuan memperoleh pengetahuan tersebut, tentunya Allah سبحانه وتعالی tidak akan menyuruh manusia untuk melakukannya. Dan orang yang tidak mahu menggunakan akal untuk memperoleh iman dan pengetahuan mengenai Allah سبحانه وتعالی bererti meninggalkan kewajiban yang diperintah ayat-ayat tersebut. Namun akal menurut Al-Maturidi, tidak mampu mengetahui kewajiban-kewajiban lainnya. Kedua mazhab ini adalah mazhab tauhid yang diakui menjadi teras Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Seterusnya Ihsan yang merangkumi bidang ilmu tasawwuf. Tasawwuf bemaksud memperbaiki hati, ketekunan ‘ubudiyyah, menyucikan akhlak, dan menguatkan rohani untuk memperoleh kebahagiaan abadi; atau terpaut hati kepada dunia bertumpu kepada akhirat, bersungguh-sungguh dalam taat kepada Allah سبحانه وتعالی. Tasawwuf juga adalah ilmu untuk mentarbiyah diri dalam mencapai tingkat ihsan yang didefinisikan Baginda Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم “Engkau beribadah seolah-olah melihatNya. Maka, jika tidak dapat melihatNya, maka Allah سبحانه وتعالی melihatmu”, atau dengan istilah kaum sufi adalah musyahadah dan muraqabah seperti yang dihuraikan sebelum ini.

Sehubungan itu, memahami ketiga-tiga rukun ini memainkan peranan penting dan lengkap melengkapi dalam kehidupan seorang muslim. Seorang muslim bukan sahaja wajib memahami ilmu feqah, bukan sahaja ilmu tauhid, bukan sahaja ilmu tasawwuf, tetapi ketiga-tiga ilmu tersebut.

Jika pada ilmu feqah itu pelaksanaannya perlu kepada mengikuti salah satu mazhab empat yang muktabar. Ilmu tauhid pula perlu berpegang kepada mazhab Asy’ariah dan Maturidiah. Begitu juga pada ilmu tasawwuf. Untuk mengamalkan ilmu ini wajiblah bagi seorang mukmin agar menimba ilmu ini dari sumbernya, berguru kepada tokoh-tokohnya, meminum dari tempat minuman mereka (masyrab), serta menempuh tingkat-tingkat yang mereka telah lalui, sehingga ia mencapai apa yang telah mereka capai, memperoleh wusul dan sampai kepada tujuan. Hal ini kerana ilmu ini tidak diambil dari atas kertas (kitab), namun hanya diambil dari ahlul azwaq (tokoh sufi), tidak diperoleh dengan perkataan namun hanya dapat diambil dari khidmat kepada tokoh sufi dan bersuhbah kepada golongan (Syeikh) yang sempurna (mencapai wusul). [2]

Imam Ibnu ‘Atha'illah as-Sakandari رضي الله عه berkata :
“Seharusnya bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan bimbingan dan menempuh jalan petunjuk agar mencari Syeikh dari golongan tahqiq (yang merealisasikan jalan ini), yang telah menempuh jalan menuju Allah سبحانه وتعالی, meninggalkan hawa nafsunya dan yang langkahnya telah mantap dalam berkhidmat kepada Tuhannya. Maka jika ia menjumpainya, laksanakanlah perintahnya dan jauhilah segala larangannya.”
Setelah kita mendalami erti tasawwuf, perlulah diketahui jalan-jalan yang membawa kepada hakikat tasawwuf yang sebenar secara praktikal iaitu dengan berthariqat. Thariqat adalah asal daripada kalimah Bahasa Arab iaitu thariq yang bermakna jalan. Jalan yang dimaksudkan di sini adalah jalan untuk menjadi orang bertaqwa, menjadi orang yang diredhai Allah سبحانه وتعالی. Secara praktikalnya thariqat adalah himpunan amalan-amalan takwa (lahir dan batin) yang bertujuan untuk membawa seseorang untuk menjadi orang bertakwa oleh gurunya yang digelar sebagai Syeikh.

Kesimpulannya, melalui hadis ini Jibril عليه سلم telah menerangkan berkenaan rukun agama yang terbahagi kepada tiga iaitu Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Ihsan. Rukun Islam perlulah mendalami ilmu feqah, Rukun Iman perlulah mendalami ilmu tauhid dan Rukun Ihsan perlulah mendalami ilmu tasawwuf. Untuk melaksanakan Rukun Islam kita perlu mengikuti mazhab feqah sama ada Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki. Untuk melaksanakan ilmu tauhid adalah dengan beriktikad Asy’ariah dan Maturidiah. Manakala, ilmu tasawwuf untuk melaksanakannya adalah dengan mengikut thariqat yang muktabar.

Inilah rukun agama secara syumul dan saling lengkap-melengkapi bagi mukmin yang mahu mendekatkan diri kepada Allah سبحانه وتعالی.

Imam Malik رحمة الله تعالى berkata :
“Barangsiapa mempelajari/mengamalkan Tasawwuf tanpa Fekah maka dia telah Zindik, dan barangsiapa mempelajari/mengamalkan Fekah tanpa Tasawwuf dia Fasik, dan siapa yang menghimpunkan keduanya (dengan mempelajari/mempelajari tasawwuf disertai fekah) maka dia mendapat tahqiq (kebenaran).” [3]

[1] Matan Al-Arba’in Al-Nawawiyyah, Imam Nawawi رحمة الله تعالى.
[2] Inilah Tasawuf, Sheikh Rohimuddin Bin Nawawi.
[3] Kitab Siyarus Saalikin Juzuk 1, Mukaddimah kitab - Syeikh Abdul Samad al-Falembani رحمة الله تعالى.


No comments:

Post a Comment