Saturday, April 14, 2018

KEWAJIPAN MENTAKZIMKAN RASULULLAH ﷺ

Kata al-Qadhi ‘Iyadh رحمة الله تعالى dalam kitabnya al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa (juz. 2, hal. 35-36) :

“Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi ﷺ sesudah wafatnya serta memulia dan mengagungkannya adalah lazim (wajib), sebagaimana hal keadaan pada masa hidupnya. Dan yang demikian itu adalah ketika menyebut Baginda ﷺ, menyebut hadith dan sunnahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli keluarganya serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabatnya.”


Kata Abu Ibrahim al-Tujibi رحمة الله تعالى :

“Wajib atas setiap mukmin apabila menyebut Baginda ﷺ atau disebut nama Baginda ﷺ di sisinya hendaklah ia tunduk, khusyuk, hormat dan diam dari bergerak serta merasakan kehebatan Baginda ﷺ dan kehormatannya, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia sendiri berada di hadapan Baginda ﷺ, serta beradab sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita.”


Kata al-Qadhi ‘Iyadh رحمة الله تعالى lagi : 

“Beginilah akhlak para salafussoleh dan imam-imam kita dahulu (رضي الله عنهم).”


Akhlak Para Salaf Terhadap Rasulullah ﷺ :

Imam Malik رحمة الله تعالى pernah bertemu Ayyub al-Sakhtiyani رحمة الله تعالى, seorang perawi hadith yang masyhur, katanya :

“Apabila disebutkan Nabi ﷺ, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya.”


Kata Mus‘ab bin ‘Abdullah رحمة الله تعالى :

"Imam Malik رحمة الله تعالى apabila menyebut Nabi ﷺ akan berubah warna rupanya dan menundukkan kepala sehingga menyukarkan hal tersebut kepada orang-orang yang duduk bersamanya. Lalu pada suatu hari beliau ditanya mengenai hal berkenaan, maka jawab beliau :

“Sekiranya kamu sekalian melihat apa yang aku lihat, nescaya kamu sekalian tidak akan hairan kepadaku terhadap apa yang kamu lihat.”



Aku pernah melihat Muhammad bin al-Munkadir رحمة الله تعالى, dan beliau adalah penghulu para qurra’, hampir-hampir tidak pernah kami bertanya kepadanya mengenai sesuatu hadith pun melainkan beliau akan menangis sehingga kami berasa kasihan terhadapnya.


Aku pernah melihat Imam Ja‘far bin Muhammad al-Sadiq رحمة الله تعالى, dan beliau seorang yang banyak bergurau dan tersenyum, namun apabila disebut di sisinya Nabi ﷺ, rupa beliau akan berubah menjadi kekuningan (kerana pucat), dan tidak pernah aku melihatnya meriwayatkan hadith dari Rasulullah ﷺ melainkan dalam keadaan suci.


Pernah ‘Abdul Rahman bin al-Qasim رحمة الله تعالى menyebut Nabi ﷺ, lalu kami lihat kepada warna rupanya seolah-olah telah keluar darah daripadanya (kerana pucat lesi), dan lidahnya menjadi kering dan kelu di dalam mulutnya kerana merasakan kehebatan Rasulullah ﷺ.


Aku juga pernah datang kepada ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Zubair رضي الله عه, apabila disebut di sisinya Rasulullah ﷺ beliau akan menangis sehingga tidak tinggal lagi air mata di matanya.


Aku pernah melihat al-Zuhri رحمة الله تعالى, dan beliau adalah orang yang paling ramah dan mesra, namun apabila disebut di sisinya Nabi ﷺ, maka dia seolah-olah tidak mengenali kamu dan kamu tidak mengenalinya.


Aku juga pernah datang kepada Safwan bin Sulaim رحمة الله تعالى, dan beliau adalah dari kalangan ahli ibadah, namun apabila beliau menyebut Nabi ﷺ, beliau akan menangis dan terus-terusan menangis sehingga orang-orang akan bangun dan meninggalkannya."


Al-Hafiz al-Sakhawi رحمة الله تعالى mengulas dalam kitabnya al-Qawl al-Badi‘ (hal. 350) :

“Maka jika kamu amati benar-benar hal ini, kamu akan tahu apa yang wajib ke atasmu dari rasa khusyuk, tunduk, hormat, beradab dan tekun mengucapkan selawat dan salam apabila menyebut nama Baginda ﷺ atau mendengar namanya yang mulia.”


للهم صلي على سيدنا محمد عبدك ونبيك ورسولك النبي الامي وعلى اله وصحبه وسلم تسليما بقدر عظمة ذاتك في كل وقة وحين


No comments:

Post a Comment