Friday, April 6, 2018

Kisah Imam Ahmad Bin Hanbal Dalam Bertasawwuf

Imam Ahmad bin Hanbal رحمة الله تعالى (wafat 241 H) adalah seorang fuqaha yang tidak asing lagi bagi kita. Pada mulanya beliau tidak menyukai ahli-ahli tasawwuf dan selalu menasihati anak lelakinya yang bernama Abdullah supaya menjauhkan diri dari ahli tasawuf.

Salah seorang ahli tasawwuf yang sangat tak disenangi oleh beliau ialah Syeikh Syubbán al-Rá'ie رحمة الله تعالى (guru Imam Syafie رحمة الله تعالى dalam bidang tasawwuf). Imam Ahmad bin Hanbal menyangka bahawa Syeikh Syubban al-Ra'ie itu seorang yang jahil yang bercakap dengan istilah-istilah tasawwuf yang payah difahami yang direka-reka sahaja.

Pada suatu hari Imam Ahmad bin Hanbal bertanya satu soalan sukar dijawab kepada Syeikh Syubban al Ra'ie. Disangkakan Syeikh Syubban al Ra'ie tidak akan dapat memberikan jawapannya. Soalan itu ialah mengenai seorang yang telah meninggalkan satu solat dari solat fardu 5 waktu tetapi orang tersebut tidak tahu solat apakah yang dia tinggalkan itu, zohor atau asar atau subuh atau isyak atau maghrib? Bagaimanakah orang ini harus menyelesaikan masalahnya?

Syeikh Syubban al Ra'ie رحمة الله تعالى menjawab : "Orang itu ghaflah (lalai), maka wajiblah dia mendidik dirinya supaya ghaflah itu hilang." Mendengar jawapan itu Imam Ahmad jatuh pengsan. Selepas beliau sedar dari pengsan itu maka beliau segera memeluk Syeikh Syubban al Ra'ie. Peristiwa itu menginsafkan Imam Ahmad sehingga beliau segera belajar ilmu tasawwuf daripada Syeikh Abu Hamzah al Baghdadi رحمة الله تعالى, seorang ahli tasawwuf yang terkenal pada zaman itu.

Selepas Imam Ahmad bin Hanbal رحمة الله تعالى mempelajari tasawwuf maka nasihat-nasihat yang diberikan kepada anak lelakinya, Abdullah adalah berlainan dari yang pernah diberikan pada masa sebelumnya. Nasihat-nasihatnya sesudah beliau belajar dan mendampingi ahli-ahli tasawwuf. Antara nasihatnya itu :

"Hai anakku, wajiblah di atas engkau mendampingi ahli-ahli tasawwuf itu, kerana mereka itu boleh menambahkan banyaknya ilmu kita, menambahkan sifat takut kita kepada Allah, sifat kasih kita kepada Allah, taqwa kita dan keazaman kita (dalam bermujahadah di jalan Allah)."

[ Risalah al Qusyairiyyah : Syeikh Abu Qasim al Qusyairi رحمة الله تعالى ]



No comments:

Post a Comment