Wednesday, March 13, 2019

Al-Imam Asy-Syeikh Soleh Bin Muhammad Al-Ja'fari Ar-Rifa'i Al-Husaini رضى الله عنه

Pendahuluan

Nama beliau ialah Soleh bin Muhammad bin Soleh bin Muhammad bin Rifai’e yang bersambung keturunannya dengan Sayyidina Jaafar As-Sodiq bin Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Imam Husain bin Sayyidina Ali bin Abi Talib 
كرم الله وجهه suami Sayyidatina Fatimah Az-Zahra’ رضي الله عنها binti Rasulullah .

Kelebihan Syeikh Soleh Al-Ja'fari di sini ialah beliau berasal dari keturunan Sayyidina Husain 
رضى الله عنه manakala sanad thariqatnya dari Sayyidina Hasan رضى الله عنه, Masya Allah! Nur ‘ala nur.


Bondanya

Selama lapan tahun ayah dan bonda Syeikh Soleh berkahwin namun masih belum dikurniakan cahaya mata. Keluarga bapanya bercadang untuk mengahwinkan ayahanda Syeikh Soleh dengan wanita lain kerana mengandaikan pasangan tersebut tiada rezeki. Dengan perasaan agak dukacita, bonda Syeikh Soleh pergi menziarahi makam Sayyid ‘Abdul ‘Ali bin Ahmad bin Idris 
رضى الله عنه (anak kepada Sayyid Syeikh Ahmad bin Idris رضى الله عنه, wali Qutub dunia, pengasas Thariqat Ahmadiyah Idrisiyah) lalu beliau berdoa dan bernazar, “Jika Allah mengurniakan aku seorang anak pada tahun ini, akan aku berpuasa dan akan aku hadiahkan pahala puasaku kepadamu (wahai Sayyid Abdul Ali) dan akan aku sedekahkan wang pada hari maulidmu kepada orang fakir.”

Hajat bondanya tadi dimakbulkan Allah iaitu pada hari Khamis bersamaan 10 Jamadil Akhir tahun 1328 Hijrah, lahirlah bayi lelaki yang diberi nama Soleh di sebuah desa di wilayah Dunqula, Sudan. Keluarganya berasal dari Mesir tetapi berhijrah dan menetap di Sudan.


Datuknya, Syeikh Soleh bin Muhammad

Datuknya, (juga bernama Soleh), Syeikh Soleh bin Muhammad 
رحمة الله تعالى adalah dari kalangan ulama’ Al-Azhar dan menubuhkan kumpulan hafiz Al-Quran dan pengajian di salah sebuah masjid di Dunqula. Perjalanan hidup datuknya ini membawa kesan yang amat mendalam kepada kehidupan Syeikh Soleh dan mewarisi sikap sukakan ilmu, beribadat dan meninggalkan perhiasan dunia yang sementara ini. Beliau banyak belajar ilmu tajwid dan menghafaz Al-Quran dari datuknya dan guru-guru di sekitar Dunqula.

Dalam satu syairnya, beliau melahirkan rasa kasih dengan memuji datuknya serta melahirkan syukur kepada Allah kerana datuknya menamakan “Soleh” iaitu nama datuknya sendiri. Beliau juga mendoakan kesejahteraan datuknya yang banyak mencurahkan bakti kepada masyarakat dengan mengajar masyarakat mengenali Al-Quran.


Ayahnya, Syeikh Muhammad bin Soleh

Ayahnya, Syeikh Muhammad 
رحمة الله تعالى pula seorang peladang yang bekerja menguruskan ladang di siangnya manakala bangun malam dan beribadat hingga hampir waktu subuh. Beliau pergi ke masjid lebih awal dan membuka pintu masjid, menghidupkan lampu-lampu dan mengimami solat jemaah. Setelah itu beliau pulang ke rumah untuk mengejutkan keluarga sebelum terbit matahari dan bersiap ke kebun selepas menikmati sedikit juadah sarapan yang disediakan isterinya. Begitulah rutin harian Syeikh Muhammad.


Keturunan Rasulullah 


Syeikh Soleh Ja'fari telah dikurniakan oleh Allah zuriat dan nasab yang paling mulia iaitu dari Rasulullah 
. Pada permulaannya beliau tidak mengetahui dengan jelas tentang keturunannya ini hinggalah beliau menemui kertas-kertas yang menunjukkan keturunan bapanya dari Sayyidina Jaafar As-Sodiq رضى الله عنه.

Ia dikuatkan lagi dengan mimpi beliau bersama Rasulullah 
. Ceritanya dalam sebuah kitab beliau, “Mimpi pertamaku ialah aku melihat Sayyidah Zainab رضي الله عنها binti Sayyidina Ali كرم الله وجهه. Ketika itu beliau berada di belakang tabir lalu beliau bertanya kepadaku, “Bagaimana keadaanmu dan keluarga Jaafari?”

Satu ketika lain, beliau bermimpi melihat Rasulullah 
 bersama empat Khalifah Ar-Rasyidin yang lain. Cerita Syeikh Soleh lagi : “Aku bersalam dengan Sayyidina Ali كرم الله وجهه lalu dia memegang tanganku dan aku berkata kepadanya, “Aku adalah dari zuriatmu dan bersambung keturunan dengan Jaafar As-Sodiq. Lantas Nabi  ketika itu menganggukkan kepala sebagai isyarat membenarkan kalimahku. Apabila terjaga dari tidur aku merasakan mimpi aku ini lebih aku sukai dari dunia dan seisinya.”

Nisbah “Al-Jaafari” kepada Syeikh Soleh diberikan sendiri oleh Sayyidina Husain 
رضى الله عنه ibn Sayyidina ‘Ali كرم الله وجهه melalui mimpi yang beliau ceritakan sendiri dalam kitabnya. Kata Syeikh Soleh : “Sebelum pemergian aku menunaikan fardu haji pada tahun 1393H, aku bermimpi dengan Sayyidina Husain رضى الله عنه di makamnya, setelah memberikan salam, aku bertanya, “Siapakah diriku ini?” Jawab Sayyidina Husain رضى الله عنه, “Jaafari”. Kata Syeikh Soleh lagi, “Kalau begitu, aku ini dari zuriatmu.” Sayyidina Husain رضى الله عنه berkata dengan nada suara yang tinggi, “Sam, Ham dan Yafis adalah zuriat Nuh عليه سلم, aku mengenali mereka dan dia (Nuh) mengenali mereka.” Kata Syeikh Soleh iaitu tentunya Sayyidina Husain رضى الله عنه mengenali zuriatnya.


Remaja dan Perkahwinan

Sejak kecil, beliau mendapat didikan langsung dari kedua orang tuanya dan datuknya yang amat kuat berpegang pada agama. Pada usia 14 tahun, beliau telah pun menghafaz Al-Quran di masjid Dunqula yang padanya terdapat makam Sayyid ‘Abdul Ali bin Ahmad bin Idris 
رضى الله عنه. Syeikh Soleh sering menziarahi makam Syeikh Abdul ‘Ali bin Ahmad bin Idris رضى الله عنه di masjid Dunqula. Beliau telah mengambil thariqat Ahmadiyah Idrisiyah pada usia 19 tahun daripada guru murabbinya, Sayyid Muhammad As-Syarif bin Sayyid Abdul Ali bin Ahmad bin Idris رضى الله عنه (cucu kepada Maulana Sayyid Ahmad bin Idris رضى الله عنه).

Syeikh Soleh telah mendirikan rumah tangga setelah usia beliau melewati 14 tahun. Ketika berusia 20 tahun, beliau dikurniakan seorang puteri bernama Fathiyah dan putera bernama Abdul Ghani. Syeikh Soleh kemudian telah mengembara menuntut ilmu hingga ke Universiti Al-Azhar. Kedua-dua cahaya matanya dipelihara oleh datuk dan nenda mereka di Dunqula.


Pengajian di Al-Azhar

Syeikh Soleh telah menuntut dari ramai para syeikh ketika tempoh pengajian di Al-Azhar. Antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim As-Samaluti 
رحمة الله تعالى. Setelah beberapa bulan mengaji, Syeikh Soleh merasa amat kecewa dan dukacita dengan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang berleluasa dan suasana hidup bandar yang amat berbeza dengan kehidupannya di kampung. Lalu terdetik dihatinya untuk pulang ke kampung sahaja bagi mengelak maksiat di depan mata.

Pada satu hari, Syeikh Muhammad Ibrahim As-Samaluti telah membincangkan masalah ini dengan Syeikh Soleh sambil berkata : "Jangan kamu sangka para wali itu hidup dalam khalwat (lari dari masyarakat) sahaja. Tapi wali yang sebenar ialah mereka yang hidup 'dalam kala jengking tapi ia tidak mampu menyengat kamu'. Duduklah di sini (bandar) dan bermujahadahlah."


Kesusahan

Syeikh Soleh Ja'afari juga banyak melalui kesusahan sepanjang tempoh pengajiannya di Al-Azhar. Beliau hidup berbekalkan duit perbelanjaan yang dikirim oleh ayahnya sebanyak 10 pound (junaih) sebulan. Beliau pernah tidak makan beberapa hari kerana kehabisan uang.

Syeikh bercerita : “Acapkali aku tidur dalam keadaan lapar bahkan pernah 4 hari aku tidak makan apa-apa. Hingga satu malam, kerana terlalu lapar beliau menangis lalu terlelap. Dalam mimpinya, beliau bermimpi menemui Sayyid Syeikh Ahmad Badawi 
رضى الله عنه (seorang wali Qutub, keturunan Rasulullah ﷺ yang makamnya berada di Tanta) dalam keadaan mukanya tertutup kemudiannya dia membuka wajahnya dan aku dapati wajahnya berseri-seri seperti bulan purnama.

Lalu dia bertanya, "Hai Soleh, kenapa kau menangis?". Aku jawab, "Kerana terlalu lapar". Lalu Sayyid Ahmad Badawi 
رضى الله عنه berdoa, "Semoga Allah luaskan rezeki untuk kamu tapi pesanku jangan kamu lupa nasib saudara-saudaramu yang lain."


Gurunya

Antara guru Syeikh Soleh ialah :

Syeikh Muhammad Bakhit Al-Mut’ie (usianya mencecah 103 tahun)

Syeikh Habibullah As-Syanqiti

Syeikh ‘Allamah Yusof Ad-Dijwi ('alim tafsir dan hadith,merupakan anggota Jemaah Ulama' Al-Azhar)

Syeikh Ali As-Syaib

Syeikh Hasan Madzkur

Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf Al-’Adawi (bekas Mufti Mesir)

Syeikh Muhammad Al-Halab

Syeikh Abdul Khaliq As-Syubrawi

Sayyid Ahmad As-Syarif Al-Ghumari (ulama' Maghribi)


Tamat Pengajian

Setelah menimba ilmu di Al-Azhar hingga mendapat sijil "Alamiyah Al-'Aliyah" yang setaraf dengan Phd. zaman ini, beliau pulang ke kampungnya di Dunqula. Keluarganya amat bergembira dengan kepulangan Syeikh Soleh.

Beliau tinggal bersama keluarganya selama 3 bulan hingga satu malam beliau bermimpi Sayyidah Sukainah dan Zainab 
رضي الله عنها (kedua-duanya Ahli Bait Rasulullah ). Mereka berdua berkata, "Sesungguhnya Soleh telah meninggalkan kami dan sibuk dengan isteri dan anak-anaknya di kampung." Apabila terjaga dari tidur, Syeikh Soleh terus bergegas ke Kaherah.


Imam Masjid Al-Azhar

Syeikh Soleh telah dilantik sebagai Imam dan Khatib di Masjid Al-Azhar. Sepanjang bertugas sebagai imam, beliau telah banyak mewakafkan diri dalam bidang dakwah dengan menyampaikan ilmunya kepada masyarakat.

Beliau juga masyhur dengan 'syeikh pengajian Jumaat' kerana selepas solat Jumaat beliau akan mengadakan pengajian tafsir dan hadith di Masjid Al-Azhar bermula lepas solat Jumaat hingga masuk waktu Asar. Semasa bertugas sebagai imam, beliau menghantar wang sebanyak 50 sen kepada bondanya di kampung hasil pendapatannya sebanyak 3.75 sen sebulan (kadar gaji ketika tahun 40-an).


Sanad Thariqat


Thariqat ialah jalan bagi mendekatkan diri seorang hamba dengan Allah melalui jalan yang jelas iaitu berguru. Syarat utama sebelum seseorang mengangkat janji (bai’ah) dengan syeikhnya ialah ikhlas, melazimi wirid dan bermujahadah. Seseorang yang merasakan dirinya lemah pasti memerlukan bimbingan dalam hidupnya. Sebagai contoh seseorang yang rasa dirinya tidak mahir komputer, pasti dia akan mencari seorang yang pakar dalam bidang tersebut mengajar hingga dia mahir dalam bidang tersebut.

Begitu juga bab kerohanian dan hati. Syeikh memimpin thariqat dipanggil “syeikh murabbi” manakala yang dipimpin dipanggil “murid”. Sebaik-baik syeikh yang bergelar murabbi ialah yang mengikuti Rasulullah 
 sama ada cara berpakaian, bercakap, makan, minum. Semuanya mengikuti Rasulullah  kerana syeikh itu sebagai pembimbing. Tentunya ramai anak muridnya memerhatikan pergerakan syeikh.

Syeikh Soleh telah berbai’ah dengan gurunya di Sudan iaitu Syeikh Sayyidi ‘Abdul ‘Ali 
رضى الله عنه, Syeikh Soleh menyebut sanad thariqatnya : “Telah mengijazahkan kepada aku guruku yang juga murabbiku Sayyid Muhammad Abdul ‘Ali رضى الله عنه dari ayahnya Sayyidi Abdul ‘Ali رضى الله عنه dari gurunya ‘Allamah Sayyid Muhammad bin ‘Ali As-Sanusi رضى الله عنه dari gurunya Sayyid Ahmad bin Idris رضى الله عنه.”


Pengasas Thariqat Jaafariyyah

Diceritakan sewaktu Syeikh Abdul Ghani berada di Sudan, beliau menulis surat kepada Syeikh Soleh, ayahnya. Beliau menulis : “Bismillahirrahmanirrahim... Kepada Syeikh Soleh Jaafari, syeikh bagi Tariqat Jaafariyah….” Beliau mengirim surat itu kepada salah seorang kawannya yang ingin bermusafir ke Kaherah. Kata Syeikh Abdul Ghani, “Bila Syeikh Soleh baca suratku ini, kau perhatikan wajahnya.” Bila Syeikh Soleh baca surat dari anaknya Syeikh Abdul Ghani menyatakan dia sebagai “SYEIKH THARIQAT JAAFARIYAH” Syeikh Soleh tersenyum. Lelaki tadi yang melihat Syeikh Soleh tersenyum, memberitahu Syeikh Abdul Ghani bahawa ayahnya tersenyum bila membaca surat itu. Tahulah Syeikh Abdul Ghani bahawa ayahnya meredhainya.

Selepas kewafatan Syeikh Soleh, seorang anak muridnya menemui surat wasiat Syeikh Soleh yang mengizinkan thariqatnya diberi nama Thariqat Jaafariyah Al-Ahmadiyah Al-Muhammadiyah. Al-Jaafariyah (dinisbahkan kepada beliau), Al-Ahmadiyah (nisbah kepada Sayyidi Syeikh Ahmad bin Idris 
رضى الله عنه) manakala Muhammadiyah (nisbah kepada Nabi Muhammad ). Asas kepada thariqat ini ialah Al-Quran, hadith dan memuji Nabi ﷺ (madaih nabawi). Sebenarnya Thariqat Jaafariyah yang dibawa oleh Syeikh Soleh lahir, membesar dan dewasa dalam Masjid Al-Azhar.


Hubungan Akrab Dengan Al-Azhar

Hubungan beliau dengan Al-Azhar amatlah kuat dan dapat dilihat sewaktu hayatnya. Syeikh Soleh tidak keluar dari Masjid Al-Azhar selama lebih 50 tahun kecuali bagi menunaikan haji serta menziarahi ahli Bait Rasulullah 
. Menurut cerita, tempat beliau berkhalwat di Masjid Al-Azhar ketika itu, pernah menjadi tempat khalwat bagi Sayyidi Syeikh Ahmad Zaruq Al-Fasi Asy-Syadzuli رضى الله عنه, seorang syeikh sufi yang masyhur.

Selepas kewafatan beliau, bilik tersebut dikunci dan tidak digunakan hingga apabila kedatangan Syeikh Soleh ke Al-Azhar 500 tahun kemudian. Ketinggian ilmu dan amal yang ada pada Syeikh Soleh Jaafari tiada siapa mampu pertikai lagi. Kebanyakan ulamak Al-Azhar mengiktiraf kealiman Syeikh Soleh termasuk Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud, Syeikh Al-Azhar ketika itu.

Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud, seorang ulamak tasawwuf yang 'alim, tawadhuk dan zuhud, juga merupakan Syeikh thariqat Syadzuliyyah. Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud telah menggelarkan Syeikh Soleh dengan "Kiblat Ilmu" kerana ketinggian ilmu Syeikh Soleh dan sebagai balasannya Syeikh Soleh menggelarkan Al-Azhar di bawah pentadbiran Dr. Abdul Halim ketika itu sebagai "Kaabah Ilmu".





Pesan beliau, "Al-Quran dan Hadis adalah dua mukjizat agung. Menjadi kewajipan Al-Azhar memelihara mukjizat tersebut". Kata Syeikh Soleh : “Al-Azhar diambil nama dari anakanda tersayang Rasulullah  iaitu Fatimah Az-Zahra’ رضي الله عنها. Yang memelihara Al-Azhar iaitu Rasulullah  sendiri.”


Kitab Susunan dan Tulisannya

Sejarah Diwan Jaafari : Syeikh Soleh telah mengarang qasidah hingga dibukukan menjadi 12 jilid. Salah seorang anak murid beliau, Haji Abdul Rauf memberitahu, selepas kewafatan Syeikh Soleh, salah seorang anak murid Syeikh Soleh bermimpi bertemu Syeikh Soleh, lalu syeikh berkata kepadanya “Buka peti ini!” sambil mengisyaratkan jari telunjuknya kepada satu peti. Keesokannya, anak muridnya memberitahu Syeikh Abdul Ghani keadaan mimpinya, lalu setelah dibuka peti tadi didapati terdapat helaian kertas yang tertulis syair dan qasidah yang ditulis syeikh sewaktu hayatnya. Syeikh Abdul Ghani memerintahkan supaya dibuku dan dicetak semua helaian syairnya. Hingga kini, qasidah karangan Syeikh Soleh masih dibaca setiap kali diadakan hadrah.


Pembukuan ‘Durus Jumaah’

Di Maktabah Jawami’ul Kalim juga terdapat 10 jilid buku pengajian Syeikh Soleh sewaktu menyampaikan pengajian di Masjid Al-Azhar setiap Jumaat. Penulisan pengajian tersebut ditulis oleh anak murid beliau dan dibukukan hari ini. Selain itu, antara kitab Syeikh Soleh yang lain antaranya :

- Risalah Fil-Haj (menerangkan tentang Haji dan Umrah)

- Fataha Wa Faidha Wa Fadhlum mina Allah fi Syarhi Kalimah

- Lailahaillah Muhammadur Rasulullah

- Syarah Matan Al-Ajrumiah (Nahu)


Karomah

Karomah paling besar kepada Syeikh Soleh ialah anak-anak muridnya yang kini berada di serata Mesir bahkan dunia. Thariqatnya juga kini tersebar luas di seluruh dunia terutama di Mesir hingga masjid serta markaznya terdapat di mana-mana. Paling menarik, setiap masjid dan markaznya akan dipelbagaikan aktiviti. Masjid tidak sebagai tempat solat sahaja. Bahkan masjidnya juga terdapat hospital, kelas tahfiz, maktabah, tempat penginapan dan muassasah bagi jemaah haji.

Satu masa, diceritakan daripada seorang ulama' Al-Azhar bernama Syeikh Tahir Al-Kharashi bahawa gurunya pergi menunaikan haji tahun 1954. Ketika beliau menziarahi makam Rasulullah 
ﷺ di Madinah, beliau bersandar di salah satu tiang dalam masjid Nabawi lalu terlena. Dalam tidur itu beliau bermimpi bertemu dengan Rasulullah ﷺ lalu Baginda ﷺ bersabda, "Apabila kamu ke Mesir nanti, sampaikan salamku kepada Soleh Jaafari". Pada masa itu, guru Syeikh Tahir itu tidak mengenali lagi siapa dia Syeikh Soleh Jaafari. Setibanya di bumi Mesir, guru Syeikh Tahir itu mencari di mana Syeikh Soleh lalu ditemui dan beliau menceritakan kepada Syeikh Soleh apa yang dimimpinya. Syeikh Soleh pun menangis apabila mendengar Rasulullah ﷺ memberi salam kepadanya.

Satu ketika sewaktu menyampaikan pengajian Jumaatnya, seorang lelaki bertanya kepada Syeikh Soleh, “Wahai syeikh! Bolehkah Nabi Khidir 
عليه سلم menyerupai sifat seorang lelaki atau ia bersifat dengan sifat-sifat tertentu?” Belum sempat syeikh menjawab, datang seorang lelaki. Nampak padanya seorang yang mempunyai hajat maka syeikh mendahulukannya. Setelah lelaki tadi beredar, syeikh berpaling kepada orang yang bertanya soalan tadi lalu bertanya, “Apakah yang kamu tanya tadi?” Lalu lelaki tadi mengulangi soalan dan jawab syeikh, “Lelaki yang bertanya aku selepas kau tadi itu ialah Nabi Khidir عليه سلم.” Terkejut dengan jawapan syeikh, lelaki tadi mencari-cari kiri dan kanan akan tapi tidak menemuinya.

Syeikh Nabil pernah menceritakan salah seorang anak murid Syeikh Soleh berhadas besar tapi terlupa untuk mandi wajib. Kisah ini berlaku selepas kewafatan Syeikh Soleh. Malamnya lelaki tadi bermimpi bertemu Syeikh Soleh memegang satu timba air. Lalu Syeikh Soleh menjiruskan air tadi kepada lelaki tadi. Bila tersedar dari mimpi tahulah bahawa dia belum mengangkat hadas besarnya.

Dr. Atiyah, imam Masjid Syeikh Soleh Jaafari di Darrasah pernah menceritakan bahawa Syeikh Soleh Jaafari bermimpi bertemu Rasulullah 
. Di sebelah kanan Baginda  ialah Sayyidina Abu Bakar رضى الله عنه, Sayyidina Umar رضى الله عنه dan beberapa sahabat yang lain (رضي الله عنهم). Di sebelah kiri Baginda  pula terdapat seorang yang beliau tidak kenali. Syeikh Soleh bersalam dan mencium tangan Rasulullah  dan kesemua sahabat di sebelah kanan Baginda tapi tidak bersalam dengan lelaki di sebelah kiri itu kerana tidak dikenalinya. Lalu Rasulullah  bersabda, “Wahai Soleh! Kamu tidak mengenali lelaki ini?” Jawab Syeikh Soleh “Tidak,” “Inilah dia Busairi (Imam Busairi رضى الله عنه),” Ini bagi menunjukkan kelebihan mereka yang suka memuji Rasulullah  sesungguhnya fadhilatnya amatlah besar di sisi Allah dan Rasulullah .

Syeikh Soleh dikurniakan menunaikan fardhu haji serta menziarahi datuknya, Rasulullah 
 di Madinah sebanyak 27 kali sewaktu hayatnya.


Karomahnya Dengan Sayyidina Husain ibn Sayyidina ‘Ali 
رضى الله عنه

Hubungan rohani beliau dengan datuknya Sayyidina Husain 
رضى الله عنه amatlah kuat. Beliau pernah menyebut, “Jika tidak kerana adanya Sayyidina Husain رضى الله عنه, aku tidak akan menetap di Mesir walau sedetik waktu.”

Seorang anak murid Syeikh Soleh bernama Haji ‘Aid telah berkahwin beberapa tahun tapi belum dikurniakan zuriat, beliau bertemu Syeikh Soleh menyatakan hasratnya untuk menimang cahaya mata. Syeikh Soleh berkata, “Sekarang kau pergi kepada Sayyidina Husain 
رضى الله عنه, cakap kepadanya seperti apa yang kamu beritahu aku tadi.” Lalu beliau pergi di sisi makam Sayyidina Husain رضى الله عنه dan menyebut seperti yang diberitahu kepada Syeikh Soleh tadi. Alhamdulillah, tidak berapa lama Allah kurniakan kepadanya zuriat.

Satu kisah, setelah sempurna Syeikh Soleh mengarang sebuah burdah, akan tetapi burdah tersebut hanya memuji Sayyidina Husain 
رضى الله عنه sahaja. Maka datang Sayyidina Husain رضى الله عنه dalam mimpinya dalam keadaan yang marah lalu berkata, “Kamu memuji aku dan meninggalkan abangku, Hasan?” Lalu Syeikh Soleh menyambung lagi burdahnya memuji kedua-dua cucu Rasulullah  dan menamakan burdah itu “Burdah Al-Hasaniyah Wal Husainiyyah” (burdah yang dinisbah kepada Sayyidina Hasan dan Husain رضى الله عنه).

Terdapat risalah yang diedar di Aswan bertajuk “Keramat Syeikh Soleh Jaafari Dengan Sayyidina Husain bin Sayyidina ‘Ali”. Risalah ini memuatkan terdapat 65 kisah keramat Syeikh Soleh dengan datuknya itu iaitu Sayyidina Husain 
رضى الله عنه.

Syeikh Soleh menceritakan lagi, satu hari beliau bersarapan bersama anak-anak muridnya yang membawa ikan perkasam dan bawang. Selepas bersarapan, Syeikh Soleh pergi menziarahi makam Sayyidina Husain 
رضى الله عنه dan duduk di barisan pertama di hadapan makam. Tidak lama kemudian beliau terlelap. Dalam mimpi itu, datang Rasulullah  kepadanya dan berkata, “Kamu makan seperti ini (iaitu bawang dan ikan perkasam) dan kamu datang kepada Husain?” Sejak itu, beliau tidak lagi makan bawang dan ikan perkasam. Jika makan pun, beliau tidak akan terus menziarahi Sayyidina Husain رضى الله عنه. Kata Syeikh Soleh, “Itulah tarbiyah Nabi Muhammad  kepadaku.”

Syeikh Soleh pernah berkata, “Sesiapa (iaitu yang berada di Mesir) yang merindui Rasulullah 
 maka ziarahlah Sayyidina Husain رضى الله عنه, sesiapa yang rohnya merindui Sayyidah Fatimah Az-Zahra’ رضي الله عنها binti Rasulullah , maka ziarahlah Sayyidah Zainab رضي الله عنها.”


Kewafatan

Setelah sekian lama berkhidmat dan mencurahkan ilmu di jalan Allah, Syeikh Soleh telah dijemput mengadap Allah pada petang Isnin, 18 Jamadil Awal tahun 1399 Hijrah (sekitar tahun 1979 Masihi) ketika berusia 71 tahun. Jasad beliau telah dikebumikan di masjid yang dibina sebelum kewafatannya di Hayyul Khailidin, Darrasah, Kaherah. Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Al-Azhar.

Antara anak murid beliau ialah Al-Marhum Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki Al-Hasani, seorang 'alim dari Mekah yang berketurunan Rasulullah 
ﷺ dari cucu Baginda Sayyidina Hasan رضى الله عنه bin Imam Ali كرم الله وجهه. Semoga Allah meredhai Syeikh Soleh Jaafari dengan keredhaan dan kerahmatan-Nya serta membalas segala kerja baik beliau dengan sebaik-baik balasan. Aamiin Ya Robbal 'Alaamiin.


Thariqat Jaafariyah Pasca - Syeikh Soleh

Menurut cerita dari Haji Abu Bakar, seorang anak murid beliau, pada permulaan pengajian di Masjid Al-Azhar, Syeikh Soleh tidak akan mengijazahkan thariqatnya kepada seseorang yang masih belajar, jika sudah tamat pengajian, tidak akan diberikan thariqat kecuali setelah berkahwin. Namun syarat ini tidak lagi digunapakai di akhir hayatnya hingga kini. Thariqat ini terus berkembang di bawah pentadbiran putera serta pewaris Syeikh Soleh, Syeikh Abdul Ghani. Beliau menggunakan gelaran “Syeikh Umum Thariqat”. Seorang anak murid Syeikh Soleh memberitahu, Syeikh Abdul Ghani dipilih atas arahan dari Rasulullah 
 kepada Syeikh Soleh. Lalu, di akhir hayat Syeikh Soleh, Syeikh Abdul Ghani telah diangkat sebagai bakal pengganti Syeikh Soleh yang berlangsung di tanah suci Mekah. (Berdasarkan qasidah karangan Syeikh Abdul Ghani). 

Syeikh Abdul Ghani banyak menghabiskan masa bersama datuk dan keluarganya di Sudan. Ini kerana Syeikh Soleh meninggalkan Syeikh Abdul Ghani bersama keluarganya ketika beliau berhijrah ke Mesir untuk bertugas sebagai tenaga pengajar di Al-Azhar. Ketika berusia 10 tahun, Syeikh Abdul Ghani mengambil thariqat dari ayahnya, Syeikh Soleh. Seawal usia 14 tahun, Syeikh Abdul Ghani telah mengarang qasidah Hijrah yang masyhur yang dibaca hingga hari ini setiap kali menjelang sambutan Awal Hijrah. 

Selepas kewafatan Syeikh Soleh pada tahun 1979, langkah pertama yang diambil Syeikh Abdul Ghani ialah mendaftarkan Thariqat Jaafariyah di bawah Majlis ‘Ala Sufi Mesir (Majlis Tertinggi Thariqat Kesufian Mesir). Di zaman Syeikh Abdul Ghani lah, berkembangnya thariqat ini terutama di Mesir. Boleh dikatakan setiap muhafazah terdapat markaz Thariqat Jaafariyah. Di muhafazah Aswan sahaja terdapat hampir 20 buah markaz selain di muhafazah lain seperti Iskandariah, Helwan, Bani Suwef, Asyut, Isna, Mahalah Kubro, Qalyubiyyah, Manufiyah, Luxor dan Qina. Di Kaherah, antara markaz thariqat Jaafariyah ialah di Al-Amiriyyah, Darul Salam, Jabal Asfar. Masjid di Darrasah, Kaherah sekarang ini pula beroperasi sebagai Markaz Induk bagi Thariqat Jaafariyah. 

Kini, Syeikh Abdul Ghani dalam keadaan uzur dalam usianya mencecah lebih 70 tahun. Sebelum ini, beliau sering kelihatan solat jemaah di masjidnya di Darrasah. Sesiapa yang ingin bertemunya boleh bertemunya setiap kali solat lima waktu tanpa perlu membuat temujanji terlebih dahulu. Namun, sejak tahun lalu, doktor menasihati beliau tidak boleh banyak bergerak akibat sakit yang dialami. Beliau hanya keluar ketika majlis hadrah (hari Ahad dan Khamis selepas maghrib) dan solat Jumaat sahaja. 

Tiga orang anak lelakinya banyak mengambil alih urusannya, iaitu anak sulungnya bernama Sayyidi Muhammad Soleh, kedua bernama Sayyidi Husain dan ketiga bernama Sayyidi Hasan. Sayyidi Muhammad dipilih sebagai Timbalan Ketua Umum thariqat (Naib ‘umum al-Thariqah) manakala Sayyidi Husain sebagai ketua pemuda (Raid syabab). 

Kelebihan thariqat ini juga berjaya melebarkan sayap kekuatan ekonominya. Penubuhan Maktabah Jawami’ul Kalim di Jalan Jaafari, Darrasah diilhamkan oleh Syeikh Abdul Ghani awal tahun 1980. Begitu juga kedai roti di sebelah masjid sekarang ini yang dimiliki oleh Sayyidi Husain.


Sambutan Maulid Syeikh Soleh Jaafari

Hingga kini, Thariqat Jaafariyah telah berkembang dan mempunyai markaz di Libya, Sudan, Kuwait dan Malaysia. Bahkan terbaru ramai di kalangan warga Nigeria, Jordan dan Thailand mengambil thariqat dari Syeikh Abdul Ghani.
Sambutan maulid Syeikh Soleh terbahagi dua peringkat iaitu :
Peringkat markaz masing-masing.
Peringkat Umum (dunia).

Setiap tahun akan diadakan majlis maulid di markaz masing-masing. Ia menjadi aktiviti tahunan dalam kalendar markaz masing-masing. Ini termasuk di muhafazah Aswan, yang akan diadakan pada musim cuti fasa 1. Sambutan maulid bagi peringkat markaz Aswan diadakan selama lima hari. Ia biasanya bermula Hari Ahad dan berakhir pada Hari Khamis. Pada malam penutup (Khamis), ia akan berlangsung di markaz besar Thariqat Jaafariyah bagi Aswan iaitu Hayyul ‘Aqad, Bandar Aswan.

Satu lagi sambutan maulid Syeikh Soleh peringkat seluruh dunia. Ia hanya diadakan sekali setahun iaitu minggu pertama dalam bulan Rejab setiap tahun bertempat di markaz induk thariqat di Darrasah. Sambutan juga selama 5 hari bermula hari Ahad dan berakhir Khamis bulan Rejab.


Image may contain: 1 person

[ Al-Imam Asy-Syeikh Soleh Bin Muhammad Al-Ja'fari Ar-Rifa'i Al-Huseini رضى الله عنه ]


Image may contain: indoor

[ Maqam Syeikh Soleh Al-Ja'fari رضى الله عنه ]



No comments:

Post a Comment