Tuesday, March 19, 2019

Zikir Hasanah dan Darajah

Dari satu sudut, zikir terbahagi kepada dua bahagian iaitu zikir hasanah dan zikir darajah. Zikir hasanah ialah zikir yang dilakukan bertujuan mendapatkan ganjaran atau pahala di sisi Allah di akhirat nanti. Manakala zikir darajah pula ialah zikir yang dilakukan bertujuan membersihkan hati dan meningkatkan tahap kejernihannya, bukan semata-mata bagi mendapatkan pahala. Oleh itu perbezaan utama di antara zikir hasanah dan zikir darajah adalah terletak pada tujuan utama zikir itu dilakukan. Zikir hasanah bertujuan mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah di akhirat, dan zikir darajah pula bertujuan menyucikan rohani serta membuang berbagai hijabnya.


Selain itu, terdapat beberapa ciri lain yang membezakan di antara kedua-dua jenis zikir tersebut. Antaranya ialah zikir darajat itu dilaksanakan dengan hemah (semangat) yang tinggi disertai dengan kesungguhan dan istiqamah serta tumpuan diberikan kepada menghadirkan makna-makna zikir yang antara caranya ialah melaksanakan kaifiyyat-kaifiyyat tertentu. Begitu juga cara bagaimana zikir itu diterima dan diperturunkan. Zikir darajat memerlukan bay`ah, talqin dan irshad daripada mursyid. Manakala zikir hasanah tidak memerlukan semua ini.


Syeikh `Abdul al-Qadir `Isa رحمة الله تعالى menamakan zikir hasanah sebagai zikir umum dan zikir darajah sebagai zikir khusus. Menurut beliau, zikir umum itu ialah zikir ganjaran dan pahala, iaitu seseorang itu berzikir mengingati Tuhannya dengan apa-apa bentuk zikir yang dikehendakinya, namun dia masih kekal dalam sifat-sifat kecelaan dirinya. Manakala zikir khusus pula ialah zikir hudur, iaitu seseorang itu berzikir mengingati Tuhannya dengan zikir-zikir tertentu dengan sifat (kaifiyyat) tertentu bertujuan mencapai ma`rifah terhadap Allah, dengan membersihkan dirinya dari semua sifat kecelaan serta menghiasinya dengan semua sifat kemuliaan, dan bertujuan melepaskan diri daripada kegelapan kebendaan serta ingin mendapatkan rahsia-rahsia kerohanian.


No comments:

Post a Comment