Tatkala tiba waktu sholat Maghrib, maka datanglah Raja `Abdul `Aziz Al Saud untuk menunaikan sholat berjemaah. Melihat ketibaan sang raja, maka para jemaah terutama sekali petugas dan antek-antek Wahabi pun berdiri menghormati sang raja. Namun, Habib `Abdul Rahman tidak berdiri dan terus sahaja duduk tanpa mempedulikan kehadiran sang raja. Perbuatan Habib `Abdul Rahman telah dilihat oleh sang raja dan setelah sholat, sang raja menyuruh memanggil Habib `Abdul Rahman datang mengadap. Habib `Abdul Rahman mendatangi sang raja, lalu beliau telah ditanya oleh sang raja mengenai perbuatannya yang tidak mahu berdiri menghormatinya. Dengan tenang dan penuh adab Habib `Abdul Rahman bertanya kepada sang raja : "Siapakah yang lebih mulia, Junjungan Nabi ﷺ atau baginda raja?" Raja `Abdul `Aziz menjawab bahawa sudah tentu Junjungan Nabi ﷺ lebih mulia daripada baginda. Maka Habib Abdul Rahman pun menceritakan kisah si Wahabi penjaga Masjidil Haram yang melarangnya untuk berdiri demi Junjungan Nabi ﷺ. Oleh itu, jika berdiri demi Junjungan Rasulullah ﷺ dilarang maka kenapa perlu berdiri demi menghormati orang yang jauh lebih rendah kemuliaannya daripada Baginda Nabi ﷺ. Setelah mendengar penjelasan Habib `Abdul Rahman, Raja `Abdul `Aziz Al Saud pun segera memerintahkan para petugas dan penjaga Masjidil Haram agar tidak lagi mengganggu dan menegah segala perbuatan dan amalan yang dilakukan oleh Habib `Abdul Rahman dalam masjid yang mulia tersebut.
[Al-`Allaamah Al-Habib `Abdul Rahman bin `Ubaidillah As-Saqqaf رحمة الله تعالى]
No comments:
Post a Comment