Friday, March 1, 2019

Mawlay Al-Quthub Al-Ghaus Asy-Syeikh Al-'Arabi Al-Darqawi Asy-Syadzuli رضى الله عنه

Menurut Asy-Syeikh Muhammad Bin Muhammad Makhluf رضى الله عنه di dalam kitabnya Syajaratul Nur Al- Zakiyyah, nama penuhnya ialah : Abu Abdullah Muhammad Al-'Arabi bin Ahmad Al-Darqawi Al-Hasani. Sementara menurut pendapat yang lain, namanya ialah Abu Hamid Al-'Arabi bin Ahmad bin Husin Al-Darqawi. Nama nisbahnya “Al-Hasani” itu menunjukkan bahawa beliau dari keturunan Sayyidina Ali bin Abi Talib كرم الله وجهه melalui anakandanya Sayyidina Hasan رضى الله عنه. Perkataan "mawlay" berasal dari maulai, yang bererti “tuanku” atau “pelindungku” atau “penaungku” ialah suatu gelaran yang terpakai di negeri Maghribi bagi seseorang yang dari keturunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Mawlay Al-'Arabi Al-Darqawi رضى الله عنه dilahirkan di kalangan kabilah Zarwal. Di kawasan pergunungan di sebelah utara kota Fez, di mana kaum keluarganya telah bertapak semenjak turun-temurun lamanya.

Tarikh kelahirannya tiadalah diketahui dengan pasti, tetapi dianggarkan tahun 1150 H, bersamaan 1737 M. Beliau wafat pada tahun 1239 Hijriah bersamaan 1823 M, dalam lingkungan usia 80an tahun. Beliau mengambil Thariqat Syadzuliyah daripada Mawlay Syeikh Abu Hasan Ali رضى الله عنه, yang bergelar "Al-Jamal", dan menjadi pengganti syeikhnya pada tahun 1193 Hijriah bersamaan 1779 M.

Ramai pula yang menerima thariqat dan berkat daripada Mawlay Al-'Arabi dan memperoleh manfaat dengannya dengan izin Allah. Di antaranya ialah anakandanya sendiri, Syeikh Muhammad Al-Toyyib Al-Darqawi رضى الله عنه yang wafat pada tahun 1287 Hijriah bersamaan 1870 M, Asy-Syeikh Al-Barkat Ali رضى الله عنه, Asy-Syeikh Abu Abdullah Muhammad bin Hamzah Zafir Al-Madani رضى الله عنه (penggantinya dan juga menjadi pengasas bagi Thariqat Madaniyah), Abu Abbas Ahmad Zauyatan, Muhammad bin Abdul Qadir, Abu Yakza Al-Mahaji dan Abu Abdullah Omar bin Muhammad Al- Harak.

Menurut Sidi Syeikh Ahmad bin 'Ajibah رضى الله عنه, Syeikhnya, Mawlay Muhammad Al-Buzidi رضى الله عنه, adalah murid bagi Mawlay Al-'Arabi Al-Darqawi رضى الله عنه dan Syeikh Ibnu 'Ajibah رضى الله عنه, memanggil Mawlay Al-'Arabi Darqawi رضى الله عنه di dalam kitabnya itu dengan gelaran “Syaikhu-Syaikhina” yakni “Syeikh bagi syeikh kami”.

Pengarang kitab Syajaratul Nur Al-Zakiyyah mensifatkan Mawlay Al-'Arabi Darqawi رضى الله عنه, sebagai pembawa panji-panji Thariqat Syadzuliyah pada zamannya, Ustaz bagi beberapa banyak ustaz pada masanya, Syeikh yang terbesar, orang yang mengenal Allah, yang paling masyhur, 'alim lagi beramal dengan ilmunya, wali Allah yang sampai kepada makrifat yang sempurna, adalah dia dari kalangan lelaki yang sempurna lagi ajaib halnya.

Dikatakan, bahawasanya pengaruh rohaniah Mawlay Al-'Arabi رضى الله عنه mendatangkan suatu perkembangan besar terhadap tasawwuf dan kebangkitan kembali kehidupan rohaniah di negeri Maghribi (Morocco), Al Jazair dan beberapa buah negeri lain. Beberapa orang murid Mawlay Al-'Al-Darqawi رضى الله عنه yang mengambil thariqat secara langsung daripadanya, kemudianya telah menjadi masyaikh yang kenamaan dan menubuhkan cabang-cabang baru pada Thariqat Darqawiyah Syadzuliyah.

Pertumbuhan cabang-cabang baru ini tiada bererti penyelewengan daripada thariqat yang asal dan tiada pula bererti perpecahan. Hanya ia timbul dengan munculnya seseorang syeikh yang baru yang memperbaharui atau mendatangkan penyesuaian pada kaifiatnya, tanpa mengubah-ngubah ajaran atau qawaid asal thariqat itu. Semua cawangan baharu bagi Thariqat Darqawiyah ini dikenali sebagai Darqawi, sementara Mawlay Al-'Arabi Al-Darqawi رضى الله عنه dirujuk dengan gelaran “Syeikh Masyasyikhina” yakni (“Syeikh bagi syeikh-syeikh kami”).

Thariqat Darqawiyah ini diperkembangkan oleh para murid Mawlay Al-'Arabi di Tunisia, Al- Jazair, Libya, Mesir, Madinah Al Munawarah, Syria, Turki, Habsyah, Mozambeew, Yaman, Palestin, Jordan, Silon, bahkan sampai terdapat pengikut-pengikutnya sekarang di Eropah.

Di antara sumbangan terbesar Mawlay 'Arabi Al-Darqawi رضى الله عنه ialah surat-surat beliau kepada anak muridnya yang mengandungi nasihat-nasihat berbentuk kerohanian yang kini sudah disalin dan dicetak oleh muridnya dan beberapa orang yang terbabit. Suratnya dicetak banyak kali di kota Fez dengan chop batu. Surat ini masih dibaca di zawiyah-zawiyah Thariqat Darqawiyah dengan syarahnya. Kandungannya membicarakan tentang kaifiat mujahadah untuk memdampingkan diri ke hadhrat Allah Ta'ala. Mengenal nafsu dan ruh, mengenal selok belok nafsu dan cara-cara mengatasi gangguan nafsu dan syaitan dan beberapa sudut makrifat. Analisanya terhadap sakit jiwa dan pengubatannya secara rohaniah adalah lebih tepat dan mengatasi mana-mana huraian yang terdapat di dalam psikologi moden yang bersifat sekular.

Tentang surat Mawlay Al-'Arabi Al-Darqawi رضى الله عنه ini, Syeikh Muhammad bin Muhammad Makhluf رضى الله عنه menyatakan di dalam kitabnya Syajaratul Nur Al-Zakiyyah, : “Dan risalah-risalahnya itu teredar di kalangan manusia, baginya pada risalah-risalah itu terdapat nafas yang diberkati lagi luhur.”



Berikut dilampirkan sedutan terjemahan daripada surat-surat Asy-Syeikh Al-‘Arabi Al-Darqawi Asy-Syadzuli رضى الله عنه ;


“Jikalau engkau menghendaki perjalananmu dipendekkan supaya segera engkau sampai kepada tahqiq atau mencapai kesedaran ruhaniah, maka hendaklah engkau berpegang teguh kepada faraidh yakni segala amalan yang fardhu [di dalam teks asal disebut – waajibaat yakni perkara-perkara yang diwajibkan] dan kepada segala nawafil yakni segala amalan yang sunat. Pelajari ilmu zahir setakat yang tidak dapat tidak (yakni fardhu 'ain) untuk beribadat, tetapi jangan berlengah-lengah menghabiskan waktu padanya, kerana engkau tiada dikehendaki mempelajarinya secara mendalam, apa yang perlu bagimu ialah bahawa engkau memperdalami ilmu bathin (yakni ilmu selok-beluk hati atau ilmu jalan ke akhirat atau ilmu tasawwuf). Lawanlah nafsumu, nescaya engkau akan melihat pelbagai keajaiban al-khalq al-karim (yakni “budi pekerti yang mulia”) tiada lainnya melainkan tasawwuf kaum shufi, sebagaimana ianya agama bagi orang yang berpegang kepada agama. (Semoga laknat Allah lah atas orang-orang yang berdusta).

Demikian pula, sentiasalah jauhi daripada terikat kepada keseronokan atau kelazatan yang datang melalui saluran pancaindera, kerana ia adalah lawan daripada pengalaman ruhaniah atau kehidupan secara ruhaniah, dan dua yang berlawanan ini tak mungkin bertemu, yakni tak mungkin dihimpunkan sekali. Tiap-tiap engkau memperkuatkan pancaindera (yakni dengan menumpukan perhatian kepada keinginan-keinginan jasmani) maka engkau memperlemahkan ruh, demikanlah ‘akasnya [sebaliknya].

Dengarlah apa yang berlaku pada Syeikh kami رضى الله عنه pada permulaan perjalanan ruhaniyahnya. Ia baharu sahaja memukul tiga takaran gandum lalu diberitahunya kepada Syeikhnya bahawa ia telah perbuat demikan. Mawlay al-‘Arabi bin ‘Abdullah berkata kepadanya : “Kian engkau tertumpu kepada pengalaman atau kelazatan-kelazatan pancaindera (yakni syahwat jasmaniah), maka kian berkuranglah engkau dalam pengalaman atau kelazatan ruhaniah, maka kian engkau tertumpu pada kepada pengalaman atau kelazatan ruhaniah, maka kian engkau berkuranglah engkau tertumpu atau terikat kepada pengalaman dan kelazatan pancaindera”.


Semoga Allah memberi manfaat kepada kita semua melalui barakahnya dan menempatkannya bersama dengan para Anbiya' dan Rasul serta para Sidiqqin... Aamiin Ya Robbal 'Alaamiin...
Al-Fatihah...


 

[ Maqam Asy-Syeikh Al-‘Arabi Al-Darqawi Asy-Syadzuli رضى الله عنه ]

No comments:

Post a Comment